Khamis, 29 September 2022 | 3:29pm
Tunku Azizah beramah mesra bersama peserta simposium sempena Majlis Penutup Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tunku Azizah beramah mesra bersama peserta simposium sempena Majlis Penutup Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 berakhir dengan jaya

PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa, peserta dan delegasi kerana menjayakan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 yang dianjurkan sejak 25 September lalu.

Tunku Azizah bertitah, kesemua jawatankuasa bekerja keras bagi menjayakan simposium yang berlangsung selama enam hari itu dan sangat gembira apabila acara itu mendapat sambutan memberangsangkan.

"Kepada seluruh ahli jawatankuasa mereka bekerja keras sebagai satu kumpulan dan saya seharusnya berterima kasih daripada lubuk hati atas kesungguhan mereka menjayakan acara ini.

"Kini kita sudah boleh meraikan kejayaan luar biasa ini, kerana acara yang sepatutnya dilaksanakan tahun lalu berdepan dengan pelbagai rintangan, termasuklah kita menghadapi COVID-19.

"Kemudian kita tetapkan yang acara ini berlangsung pada Ogos lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana antara delegasi iaitu Indonesia meminta supaya diadakan pada September disebabkan negara itu sedang membuat persiapan menyambut Hari Kebangsaan mereka," titah Tunku Azizah dalam ucapan penutup Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8, di Hotel Marriot, hari ini.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenaan menyerahkan bendera simposium kepada wakil Persatuan Kraftangan Laos, Duangmala Phommavong sebagai simbolik menyerahkan acara dwitahunan itu kepada negara penganjur seterusnya, iaitu Laos.

Laos akan menganjurkan simposium berkenaan pada tahun 2024, bagaimanapun negara berkenaan belum menetapkan tarikh atau lokasi bagi penganjuran acara itu.

Malaysia yang menjadi tuan rumah pada simposium kali kelapan itu mengangkat 'Celebrating Textiles: A Journey', sebagai tema acara berkenaan dan ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Simposium yang dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja itu turut berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta dari 13 negara yang membabitkan golongan penggiat seni tekstil, artisan dan penenun.

Kali terakhir simposium dwitahunan itu diadakan adalah pada tahun 2019 di Jogjakarta, Indonesia sebelum ia ditunda kerana penularan COVID-19 yang memuncak pada ketika itu.

Sebanyak 19 kertas kerja dibentangkan pada simposium berkenaan dari 13 negara termasuk Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Kanada, Laos, Filipina, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Dalam pada itu, Tunku Azizah bertitah penganjuran simposium itu membolehkan peserta meraikan persamaan dan keunikan dalam kepelbagaian tekstil tradisional di rantau ASEAN.

Sementara itu, Phommavong berbesar hati untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran simposium akan datang serta mengalu-alukan peserta di negara ini untuk turut menghadiri acara berkenaan kelak.

"Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Malaysia selaku tuan rumah bagi simposium kelapan kerana merancang dengan baik acara bermakna ini. Banyak pengalaman yang dapat ditimba dalam simposium ini terutamanya berkaitan dengan tekstil tradisional Malaysia.

"Diharapkan kita dapat mengubah pakaian tradisional ini menjadi lebih moden bagi menarik minat generasi muda untuk memakainya seterusnya dapat mengekalkan pemakaian kain tradisional ini," katanya.

Selain membentangkan kertas kerja, simposium berkenaan turut menyediakan ruang pameran khas membolehkan orang ramai dapat melihat koleksi tenunan pakaian anaknda Tunku Azizah dan koleksi tenun peribadi baginda, demostrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, siambitan dari Sabah, pua kumbu (Sarawak), anyaman mengkuang, ukiran kayu serta pelbagai jualan kraf.

Penganjuran oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja itu turut mendapat sokongan daripada Muzium Pahang, Galeri Prima, Media Prima Omnia, Pusat Kraftangan Malaysia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Jabatan Penjara dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Yayasan Tenun Pahang Diraja ditubuhkan pada 29 September 2017 bertujuan untuk memajukan Tenun Pahang Diraja sebagai perusahaan kraf warisan yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mewujudkan pekerjaan peluang untuk pekerja seni dan penenun.

Yayasan ini berada bawah naungan Al-Sultan Abdullah manakala Tunku Azizah adalah Pengasas Bersama merangkap Pengerusi bagi yayasan terbabit.

Berita Harian X