Khamis, 29 September 2022 | 2:47pm
Sultan Nazrin melancarkan buku “Contesting Malaysia’s Integration Into The World Economy” di Universiti Malaya.- Foto NSTP/Aswadi Alias
Sultan Nazrin melancarkan buku “Contesting Malaysia’s Integration Into The World Economy” di Universiti Malaya.- Foto NSTP/Aswadi Alias

Pastikan kebenaran diberitahu - Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengingatkan ahli sejarah supaya sentiasa memastikan kebenaran diberitahu.

Baginda bertitah, dalam dunia di mana persepsi menjadi lebih penting berbanding kebenaran, berlaku peningkatan ketara maklumat salah, diselewengkan dan fakta dimanipulasi secara sistematik terutama di media sosial.

"Mempersoalkan perspektif sedia ada, serta menggunakan semua sumber bukti adalah penting seperti bertanyakan naratif yang dominan.

"Jadi, peranan ahli sejarah adalah untuk memastikan bahawa kebenaran diberitahu," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada pelancaran buku 'Contesting Malaysia's Integration Into The World Economy anjuran Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor dan Pengarah Eksekutif AEI, Prof Datuk Rajah Rasiah.

Buku disunting oleh Rajah, Azirah Hashim dan Jatswan S Sidhu itu adalah bagi memperingati serta sebagai tanda penghormatan kepada sejarawan ulung, Allahyarham Prof Datuk Shaharil Talib Robert.

Buku terbabit menghimpunkan hasil kerja Shaharil merangkumi konsep sejarah yang dibina secara aktif melalui soal siasat kritikal terhadap perspektif sedia ada dan penggunaan bukti kukuh.

Sultan Nazrin bertitah, memahami sejarah adalah penting tetapi menjadi lebih keutamaan pada zaman perubahan dan peralihan global seperti dialami dunia ketika ini.

"Ketika kita mahu bergerak ke hadapan dan meninggalkan impak buruk akibat pandemik COVID-19 yang menyaksikan banyak negara menutup sempadan mereka dan perdagangan dunia merudum, berlaku pula pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

"Perang sekali lagi mengganggu rantaian perdagangan dan bekalan global, menyebabkan kemunduran bagi ekonomi dunia.

"Orang ramai kini berdepan harga komoditi yang lebih tinggi, terutamanya untuk tenaga serta makanan dan ini menyebabkan inflasi meningkat dengan mendadak, hampir semua mata wang bukan dolar AS susut manakala simpanan serta pendapatan terhakis," titah baginda.

Berita Harian X