Isnin, 26 September 2022 | 12:16pm
Hospital Cyberjaya
Hospital Cyberjaya

Wad bersalin tak cukup katil

KUALA LUMPUR: Ditempatkan di kerusi sepanjang tempoh menunggu kelahiran bayi dengan ada yang terpaksa menunggu berhari-hari untuk mendapatkan katil, adalah antara keluhan wanita yang bersalin di beberapa hospital kerajaan.

Selain itu, mereka juga berdepan pelbagai kesulitan, antaranya terpaksa merujuk ke beberapa hospital sebelum diterima masuk ke wad kerana alasan sama, iaitu jumlah pesakit dalam satu masa terlalu ramai dan kekurangan katil.

Ibu kepada salah seorang wanita hamil yang berdepan situasi itu, Noraini Ismail, berkata anaknya antara yang berdepan pelbagai masalah disebabkan kekurangan katil.

"Anak saya berdepan situasi yang amat memenatkan, dia terpaksa ke hospital atas arahan klinik kesihatan kerana menghidap diabetes. Seharian dia dan suami terpaksa dari satu hospital ke hospital lain.

"Pada mulanya anak saya ke Hospital Putrajaya tetapi mereka maklumkan katil penuh, jadi mereka rujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bila sampai ke HKL, masalah sama berlaku, tak ada katil. Jadi terpaksa ke Hospital Serdang pula... Alhamdulillah akhirnya mereka terima, tetapi terpaksa menunggu untuk ditempatkan di wad," katanya kepada BH.

Ditempatkan di kerusi tiga hari sebelum dapat katil wad bersalin

Noraini berkata, anaknya ditempatkan di kerusi menunggu selama tiga hari, termasuk terpaksa tidur dalam keadaan duduk.

Katanya, hanya pada malam kelmarin (Sabtu) anaknya ditempatkan di katil wad bersalin.

"Disebabkan kekangan katil, pihak hospital terpaksa memberi laluan kepada kes kecemasan dengan ibu hamil yang belum menunjukkan tanda bersalin diminta menunggu sehingga ada kekosongan katil.

"Selepas tiga hari menunggu, malam tadi (Sabtu) baru anak beritahu dapat katil. Itu pun masih panjang senarai menunggu dengan berpuluh lagi ibu hamil yang terima nasib sama, malah ada beberapa orang yang menunggu sejak Khamis lalu bersama anak saya belum dapat katil sampai hari ini (semalam).

"Saya memang risau, jadi bila sudah ada katil, dengan tempoh bersalin pada bila-bila masa... paling lewat esok (hari ini), kuranglah sedikit kebimbangan akan keselamatannya," katanya.

Noraini berkata, sebelum dapat katil, anaknya bersama kira-kira 30 ibu hamil lain yang belum dapat katil terpaksa ke surau hospital untuk berehat kerana tidak tahan sakit badan," katanya.

Beliau berharap isu katil tidak dianggap situasi biasa di hospital kerajaan, sebaliknya Kementerian Kesihatan (KKM) mesti mencari jalan dan mengambil berat kebajikan dan aspek kesihatan ibu hamil.

Wad bersalin hospital kerajaan sesak

Sementara itu, penjawat awam, Siti Noraisyah Saad, 33, turut menceritakan pengalaman pahitnya ketika melahirkan bayi keduanya di sebuah hospital kerajaan, baru-baru ini.

"Saya bernasib baik sebab sampai saja di hospital, sudah ada bukaan dan terus dibawa masuk ke dewan bersalin. Tetapi, selepas bersalin, keadaan hospital memang sesak dengan ibu yang tunggu untuk bersalin dan sudah melahirkan anak.

"Jadi, disebabkan tak ada ruang lagi dalam wad bersalin, petugas hanya tempatkan saya di luar wad. Tak ada lokar untuk letak barang... semua kelengkapan bayi diletak di lantai sahaja, kipas pun tak ada, nak menyusukan anak pula risau orang nampak," katanya yang terpaksa duduk di luar wad selama dua hari sebelum mendapat tempat.

Pengalaman sama turut dihadapi seorang wanita bersalin di Hospital Tanah Merah (HTM), Kelantan.

"Wad sesak hingga lapan katil di satu bahagian sedangkan ruangan itu hanya boleh memuatkan enam katil sahaja". Itu pengalaman yang dialami wanita mengandung dikenali sebagai Zira, 24, ketika dimasukkan ke wad bersalin di HTM, baru-baru ini.

Walau wad sesak, khidmat doktor, jururawat sangat baik

Zira berkata, sebelum ini dia hanya mendengar orang mengatakan wad bersalin di hospital berkenaan sentiasa sesak sebelum dia sendiri merasainya.

"Dari segi kakitangan dan layanan jururawat serta doktor sangat bagus, cuma dari segi fasiliti jelas menunjukkan wad begitu sesak.

"Sebagai contoh setiap ruangan sepatutnya hanya memuatkan enam pesakit, namun disebabkan pesakit yang ramai menyebabkan sehingga lapan pesakit ditempatkan di satu ruang.

"Disebabkan itu, langsir untuk setiap pesakit yang disediakan tidak dapat digunakan berikutan jumlah katil yang bertambah," katanya kepada BH.

Zira yang bekerja di sebuah syarikat swasta, berkata ada juga pesakit terpaksa menggunakan katil sementara yang dilihat kurang selesa.

"Disebabkan kesesakan itu, ahli keluarga yang datang melawat juga tidak dapat duduk di sebelah katil pesakit dilawati kerana jarak katil disusun agak rapat dan menyukarkan pelawat.

"Saya dimasukkan ke wad disebabkan kandungan mengalami masalah sebelum dibenarkan keluar selepas tiga hari. Bagaimanapun, keadaan itu bukanlah menyebabkan saya serik kerana selepas ini saya akan kembali ke hospital berkenaan juga untuk bersalin.

"Saya difahamkan bangunan baru di hospital itu sudah siap, mungkin selepas dibuka keadaan menjadi kurang sesak," katanya.

Kesesakan di wad bersalin pada waktu tertentu sahaja

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesesakan di hospital kerajaan terutama di wad bersalin dialami pada waktu tertentu sahaja, iaitu berdasarkan trend peningkatan kelahiran bayi bermula pada September hingga November.

Kemuncak peningkatan kelahiran di Malaysia ialah pada Oktober yang berlaku di seluruh negara.

Berikutan trend yang berlaku dalam tempoh berkenaan, secara tidak langsung ia turut menyebabkan pesakit yang perlu dipantau di wad bersalin meningkat terutama pesakit dengan komorbiditi dan berisiko tinggi.

"Selain itu, faktor seperti penerusan rawatan bayi baru dilahirkan yang memerlukan ibu terpaksa tinggal lebih lama di wad dan pesakit tidak dapat pulang awal kerana menunggu kedatangan ahli keluarga juga menjadi antara punca kesesakan itu berlaku.

"Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM), sudah mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah ini, antaranya memperkukuhkan pengurusan katil dan aliran pesakit di wad bersalin.

"KKM akan mempercepatkan kebenaran pulang bagi kes berisiko rendah bersalin dengan selamat serta menyediakan ruangan menunggu untuk memastikan katil sentiasa tersedia bagi pesakit baharu," katanya kepada BH.

KKM sedia katil tambahan

Keadaan Ibu mengandung terpaksa menunggu berhari-hari di ruangan menunggu berikutan katil wad bersalin penuh di Hospital Serdang. - Foto Ihsan Pembaca
Keadaan Ibu mengandung terpaksa menunggu berhari-hari di ruangan menunggu berikutan katil wad bersalin penuh di Hospital Serdang. - Foto Ihsan Pembaca

Dr Noor Hisham ditanya mengenai isu kesesakan di wad bersalin hospital kerajaan sehingga menyebabkan ada ibu mengandung terpaksa duduk di kerusi sementara menunggu giliran untuk bersalin, selain ada yang terpaksa dihantar ke hospital berdekatan lain disebabkan kesesakan di hospital tertentu.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, KKM juga sudah menyediakan katil tambahan dan step down care ke hospital berdekatan ataupun ke hospital di bawah kluster masing-masing untuk mengatasi isu kesesakan.

"Selain itu, KKM juga menyediakan fasiliti baharu untuk meningkatkan kemudahan rawatan wanita bersalin seperti Hospital Cyberjaya, Kompleks Wanita Dan Kanak-Kanak Hospital Kajang dan Hospital Tanjung Karang.

"Dalam masa yang sama, KKM juga ingin menggesa wanita berisiko rendah untuk bersalin di hospital daerah atau pusat bersalin berisiko rendah bagi mengurangkan beban di hospital tertiari," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sedang berusaha menambah jumlah kakitangan di wad bersalin hospital kerajaan bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti penjagaan pesakit.

"Malah, hospital KKM juga akan sentiasa memaklumkan status katil dan kadar kemasukan wad kepada orang awam dari semasa ke semasa supaya pesakit bersedia dan memahami keperluan masa menunggu yang lama," katanya.

Berita Harian X