Jumaat, 23 September 2022 | 7:21pm
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memarahi penghantar p-hailing susulan insiden tersalah pin lokasi.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memarahi penghantar p-hailing susulan insiden tersalah pin lokasi.

Angkara individu celupar, pengurusan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) mohon maaf kepada 'rider'

KUALA LUMPUR: Pengurusan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) sudah mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangannya yang memarahi seorang pekerja penghantar p-hailing berhubung insiden tersalah pin lokasi penghantaran, baru-baru ini.

MUST dalam satu kenyataannya yang dikongsi menerusi Facebook rasminya semalam, menzahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap kejadian yang berlaku itu.

"Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit dalam tindakan yang menyinggung perasaan dan memalukan ini.

"Kami percaya tidak seharusnya mana-mana pihak mengambil tindakan dalam mengugut atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesiapa," kata MUST dalam kenyataannya itu.

MUST berkata, pihak pengurusan eksekutif universiti itu, berterima kasih kepada pihak yang mengambil inisiatif memaklumkan kejadian terbabit.

"Kami sangat menghargai semua komen dan pendapat diberikan. Kami berjanji akan terus memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua anak didik kami," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, pengurusan MUST menafikan mempunyai sebarang perjanjian kerjasama dengan syarikat, Grab, seperti didakwa individu berkenaan dalam video tular ketika mengherdik pekerja penghantar p-hailing berkenaan.

MUST menegaskan, universiti itu juga tidak mempunyai sebarang pembabitan sama ada secara langsung atau tidak dengan syarikat berkenaan.

"Pengurusan universiti mengutuk perbuatan individu tersebut dan kami telah mengambil tindakan disiplin sewajarnya terhadap beliau.

"Pengurusan universiti yakin, kenyataan yang diberikan pihak tersebut adalah sepenuhnya tanggungjawab oleh beliau dan bukan daripada pihak universiti," katanya.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 11 saat memaparkan seorang individu yang memakai baju berlambang MUST memarahi penghantar makanan p-hailing kerana lambat menghantar pesanan yang dibuatnya.

Individu itu turut menunjukkan lambang MUST dibaju yang dipakainya sambil mendakwa universiti itu mempunyai kerjasama dengan syarikat penghantaran Grab dan boleh menyebabkan pekerja terbabit hilang pekerjaan.

Namun, pekerja berkenaan mempertahankan kelewatannya menghantar makanan yang dipesan susulan tindakan lelaki terbabit yang tersalah pin lokasi penghantaran menyebabkan dia lewat kira-kira sejam bagi mencari lokasi penyerahan itu.

Berita Harian X