Jumaat, 23 September 2022 | 5:04pm

Kebenaran berpihak kepada saya selepas diaib, ditelanjangkan...

SHAH ALAM: "Saya telah diaibkan, …saya dimalukan, malah saya ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan dan saya dihukum terlebih dahulu oleh 'the court of public opinion' (tanggapan umum).

"Tapi alhamdulillah hari Jumaat penghulu segala hari menyaksikan segala-galanya bahawa perundangan ditetapkan demi kebenaran ini," kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang melepas dan membebaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah membabitkan kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Presiden UMNO itu berkata, beliau lega dan memanjatkan kesyukuran atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa sekali gus membersihkan namanya daripada tuduhan terbabit.

"Dari hari pertama hingga keputusan hari ini saya amat yakin pelaksanaan perundangan diteliti dan diperincikan oleh Yang Arif Hakim dan tentunya saya rasa apa juga yang dipertuduhkan kepada saya, biarpun saya harus reda dengan ujian yang ditimbulkan ke atas saya namun saya istiqamah.

"Saya amat yakin pertuduhan-pertuduhan itu tidak pernah saya lakukan dan saya amat yakin selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, ini adalah kejayaan perjuangan BN," katanya pada sidang media di lobi di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Ahmad Zahid pada sidang media selepas mahkamah memutuskan membebaskan beliau daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Ahmad Zahid pada sidang media selepas mahkamah memutuskan membebaskan beliau daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Di akhir ucapannya, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama barisan peguam, ahli keluarga dan rakan seperjuangan dalam arena politik yang terbabit dalam memperjuangkan keadilan terhadapnya.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya yang amat profesional dan cemerlang. Saya berbangga dengan usaha mereka.

"Saya tak akan pernah lupa kawan-kawan yang tak pernah jemu untuk bersama saya di mahkamah ini yang datang dari jauh dan seluruh kepimpinan UMNO yang mendukung supaya keadilan ini dinaikkan.

"Akhir sekali saya ucapkan terima kasih kepada wartawan yang memberikan laporan sangat seimbang dan profesional dan diharap laporan itu lebih seimbang lagi kepada saya," katanya.

Terdahulu, Mohd Yazid memutuskan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilepas dan dibebaskan atas semua 40 pertuduhan terbabit selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.

Sebelum ini pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 September lalu.

Saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Pasukan pendakwaan kes itu ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani Selain itu, Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

Ahmad Zahid berdoa bersama penyokong selepas beliau dibebaskan 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Ahmad Zahid berdoa bersama penyokong selepas beliau dibebaskan 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X