Jumaat, 23 September 2022 | 2:42pm
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem VLN. - Foto BERNAMA
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem VLN. - Foto BERNAMA

Kes rasuah VLN: 3 saksi pendakwaan tak boleh dipercayai - Hakim

SHAH ALAM: Tiga saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN) tidak boleh diharap, tidak boleh dipercayai dan tidak berwibawa, demikian diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Ketiga-tiga saksi itu adalah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khiun (saksi pendakwaan ke-15), Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (saksi pendakwaan ke-16) dan bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun (saksi pendakwaan ke-17).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya setebal lebih 100 muka surat, berkata dapatan itu merungkai persoalan mengapa beliau mendapati tanda 'Z' dan 'ZH' pada lejar UKSB tidak cukup untuk membuktikan Presiden UMNO itu menerima suapan terbabit.

Mohd Yazid berkata, mahkamah selanjutnya mendapati walaupun terdapat cadangan bahawa Ahmad Zahid ada menerima dana politik berjumlah RM200,000 sebanyak dua kali, tiada sebarang keterangan atau bukti mengenainya yang dikemukakan di mahkamah.

Katanya, mahkamah dengan itu menyimpulkan pendakwaan gagal membuktikan intipati utama dalam semua 33 pertuduhan bahawa tertuduh menerima wang suapan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Berhubung 33 pertuduhan pilihan pula mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, kecuali bahagian di mana tertuduh adalah penjawat awam yang tidak dinafikan pihak pembelaan, saya mendapati pendakwaan gagal membuktikan intipati utama kesalahan iaitu menerima suapan tanpa balasan berdasarkan analisa terhadap keterangan yang dikemukakan,

Ahmad Zahid bersama penyokongnya selepas dibebaskan daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN) pada 24 September lalu. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ahmad Zahid bersama penyokongnya selepas dibebaskan daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN) pada 24 September lalu. NSTP/ASYRAF HAMZAH

"Bagi tujuh pertuduhan pilihan menerima suapan, saya mendapati saksi pengarah UKSB dan bukti lejar yang dikemukakan pendakwaan gagal membuktikan elemen penerimaan wang suapan. Selepas menimbangkan keterangan secara keseluruhan dan selepas saya menolak keterangan Siong Sun, ia menimbulkan keraguan sama ada wang suapan itu diserahkan kepada tertuduh.

"Berdasarkan kegagalan pendakwaan untuk membuktikan elemen penting dalam semua tuduhan dan selepas menilai semua keterangan secara keseluruhan, saya dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan," katanya.

Hakim itu berkata, beliau mengingatkan diri sendiri untuk membuat keputusan selepas meneliti keseluruhan bukti pendakwaan dengan berhati-hati dan selepas menimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak.

Katanya, sejak hari pertama perbicaraan, beliau mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan komen dan pandangan diutarakan orang awam yang dibuat di luar mahkamah.

"Ia adalah kewajipan saya untuk menegakkan keadilan," katanya.

Berita Harian X