Isnin, 19 September 2022 | 2:42pm
Dr Adham (tengah) pada Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Agensi Nuklear Malaysia di Agensi Nuklear Malaysia, Kompleks Bangi, Kajang. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Dr Adham (tengah) pada Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Agensi Nuklear Malaysia di Agensi Nuklear Malaysia, Kompleks Bangi, Kajang. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Penggubalan Dasar Teknologi Nuklear Negara fasa terakhir

BANGI: Penggubalan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) kini berada dalam fasa terakhir bagi mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata penggubalan dasar itu bertujuan untuk memperkasakan ekosistem teknologi nuklear negara dalam usaha memacu negara menjadi negara berteknologi tinggi masa hadapan.

Katanya, DTNN akan menjadi pemangkin kepada perkembangan kemajuan dan pembangunan teknologi nuklear di negara ini kerana tenaga nuklear ini boleh diukur sebagai teknologi hijau apabila digunakan secara selamat.

"Apabila DTNN ini digubal, saya yakin masyarakat boleh melihat bagaimana persepsi bahawa teknologi nuklear itu selamat dan boleh digunakan untuk membangunkan teknologi.

"Contoh terkini ialah dengan penggunaan teknologi nuklear, kita berjaya membangunkan baka benih padi IS22 seperti mana yang diarahkan oleh Perdana Menteri supaya MOSTI membangunkan prototaip benih padi ini menggunakan sinaran gamma lanjutan daripada benih padi IS21 yang lalu," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Agensi Nuklear Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Abdul Rahim Harun.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, pembangunan benih padi IS22 ini sudah berada dalam peringkat pembentangan kepada Jawatankuasa Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras (JKKIPB) dan ia boleh cuba mula ditanam di tempat yang ditetapkan.

"Benih padi IS22 ini mempunyai keupayaan yang lebih baik di mana ia matang lebih awal, mengeluarkan hasil yang tinggi, boleh hidup dalam keadaan tanah kurang subur serta tahan kemarau serta banjir kilat.

"Secara tidak langsung, dengan keupayaan benih padi IS22 yang dibangunkan oleh Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama kementerian dan jabatan terbabit, ia boleh membantu dalam sekuriti makanan.

Katanya, sebaik saja benih padi IS22 ini dijadikan benih padi sah, barulah ia boleh ditanam di semua jelapang padi di negara ini.

"Walaubagaimanapun, kita akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) supaya dapat memperluaskan tapak penanaman padi di negara ini.

"Negara mempunyai 12 jelapang padi negara dan berharap apabila ia menjadi benih padi sah, ia boleh ditanam di semua jelapang itu," katanya.

Berita Harian X