X
Ahad, 18 September 2022 | 8:00pm
Hampir 35 peratus jurutera di negara ini dikenal pasti menerima gaji permulaan di bawah RM2,000. - Foto hiasan
Hampir 35 peratus jurutera di negara ini dikenal pasti menerima gaji permulaan di bawah RM2,000. - Foto hiasan

Gaji jurutera terlalu rendah

KUALA LUMPUR: Hampir 35 peratus jurutera di negara ini dikenal pasti menerima gaji permulaan di bawah RM2,000, selain kadar kenaikan gaji yang diberi majikan tidak selari dengan kadar inflasi semasa.

Perkara itu didedahkan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang menjalankan kajian membabitkan isu gaji permulaan jurutera rendah yang dibangkitkan beberapa pihak, sejak tahun lalu.

Yang Dipertua LJM, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman, berkata hasil kajian pasukan petugas khas LJM mendapati Skim Kejuruteraan dalam sektor awam juga dikenal pasti berada di kedudukan ketiga selepas Skim Perubatan dan Kesihatan serta Kewangan.

"Kajian oleh petugas khas sudah pun selesai dan hasilnya mendapati sekitar 35 peratus jurutera menerima gaji permulaan di bawah RM2,000 sebulan," katanya kepada BH.

Sebelum ini, pasukan petugas khas LJM ditubuhkan bagi meneliti isu gaji permulaan jurutera rendah yang dibangkitkan pelbagai pihak sejak 2021.

Penubuhan pasukan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sesi perbahasan isu gaji permulaan jurutera yang rendah di Dewan Rakyat, 14 Mac lalu.

Mohamad Zulkefly yang juga Ketua Pengarah Kerja Raya bagaimanapun menafikan dakwaan gaji permulaan jurutera tidak berubah bagi tempoh 20 tahun berturut-turut, iaitu antara 2000 hingga tahun lalu.

Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.
Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.

"Hasil kajian kita mendapati purata kenaikan gaji tahunan bagi sektor awam dan swasta, masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 2.2 peratus.

"Kadar kenaikan gaji permulaan itu bagaimanapun tidak selaras dengan kadar inflasi negara, iaitu 3.2 peratus.

"Kajian juga dapati sektor penyelidikan dan pembangunan serta pembuatan dan pengeluaran menawarkan julat peratusan gaji permulaan paling tinggi, iaitu 75 peratus atau melebihi RM2,000," katanya.

Syor atasi isu gaji rendah

Sehubungan itu, Mohamad Zulkefly berkata, LJM menggesa syarikat yang menggaji jurutera menetapkan julat gaji permulaan jurutera antara RM2,500 hingga RM3,500 atau kadar lebih tinggi mengikut kemampuan majikan.

Ini katanya, selaras kadar permulaan gaji pokok jurutera sebanyak RM3,335 yang digariskan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia: Kos Perkhidmatan Perunding (PK 3.2) (Pindaan April 2021) yang boleh dijadikan asas rujukan kepada semua majikan.

"Ia adalah antara beberapa syor LJM bagi mengatasi isu gaji jurutera yang rendah dalam tempoh jangka pendek, sekali gus menyumbang pertumbuhan positif ekonomi negara bagi jangka panjang.

"Penanda aras bagi penetapan gaji permulaan jurutera dengan mengambil kira kos sara hidup dan gaji sektor profesional lain perlu dibuat sebagai penyelesaian jangka panjang," katanya.

Selain itu, katanya, pihak berkepentingan perlu membuat unjuran penawaran dan permintaan, sama ada dari segi kuantiti dan disiplin profesion kejuruteraan bagi perancangan atau susun atur pengeluaran jurutera siswazah pada peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

"Menerusi aspek perundangan, proses pindaan Akta 138 perlu disegerakan untuk peruntukan penguatkuasaan yang lebih luas demi memperkasakan fungsi LJM.

"LJM akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dalam meningkatkan keberkesanan program kempen kesedaran kepentingan berdaftar dengan lembaga ini.

"Skala fi kejuruteraan sedia ada perlu ditambah baik tatacara pengendaliannya untuk memberi nilai tambah dalam penentuan penggajian jurutera," katanya.

Tingkat martabat profesion

Sementara itu, Mohamad Zulkefly berkata, usaha memartabatkan profesion kejuruteraan supaya nilai tambah digandakan, perlu dibuat secara holistik oleh IPT, sama ada membabitkan aspek kemahiran mahupun akademik.

Beliau juga mengesyorkan insentif kewangan kepada syarikat yang layak menggaji jurutera dengan gaji permulaan selama dua tahun, bagi meningkatkan kemahiran kejuruteraan seperti doktor pelatih perlu diperhalusi dan dipertimbang untuk pelaksanaan.

Katanya, ada keperluan kajian menyeluruh mengenai bidang tugas jurutera yang masih bergantung kepada teknologi luar dan tidak menuntut inovasi serta kreativiti, bagi meningkatkan martabat jurutera tempatan dari aspek profesion dan ekonomi, perlu dilaksanakan secepat mungkin.

"Generasi muda tidak akan memilih profesion kejuruteraan sebagai pilihan kerjaya, jika isu ini tidak ditangani segera.

"Kesannya, usaha memperkasakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tidak akan tercapai dan negara akan berdepan kekurangan jurutera serta terpaksa bergantung kepada kepakaran dan teknologi luar dalam pembangunan negara," katanya.

Keratan akhbar muka depan BH 23 Oktober 2019.
Keratan akhbar muka depan BH 23 Oktober 2019.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan bersetuju kaji skim gaji dan imbuhan jurutera dalam perkhidmatan awam.

Kerajaan katanya, memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah kerana ia boleh menjejaskan golongan muda menceburi profesion berkenaan.

Inflasi Malaysia yang diukur daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) telah meningkat 4.4 peratus pada Julai berbanding 3.4 peratus pada Jun.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilaporkan berkata, indeks makanan yang meningkat 6.9 peratus pula kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada Julai.

BH pada Oktober 2019 pernah mendedahkan isu gaji jurutera di negara ini tidak pernah berubah sejak 20 tahun lalu, malah lepasan kejuruteraan universiti tempatan tidak menerima gaji seperti diharapkan dan ada menerima kurang daripada RM2,500 sebulan.

Antara punca gaji jurutera statik yang dikesan LJM ketika itu ialah ada majikan menggunakan taktik membawa masuk jurutera asing dengan menggunakan permit pekerja biasa kerana 'jurutera' asing sanggup bekerja dengan gaji dan faedah rendah.

Ia berlaku sejak beberapa tahun lalu terutama dalam sektor pembinaan dan pembuatan yang biasanya menggunakan tenaga jurutera yang ramai dan pada masa sama majikan ingin mengurangkan kos gaji sekiranya mengambil jurutera tempatan.

Berita Harian X