Jumaat, 16 September 2022 | 12:20pm
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. Gambar fail NSTP
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. Gambar fail NSTP

Mesyuarat MKT UMNO 30 September ini

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sepatutnya diadakan malam esok dijadualkan semula pada 30 September ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan Mesyuarat Khas MKT UMNO ditangguhkan kerana Perdana Menteri terbabit dengan acara perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, malam esok.

"Tarikh baharu mesyuarat ialah pada Jumaat, 30 September jam 8 malam yang juga mesyuarat penuh MKT UMNO.

"Dimaklumkan juga bahawa pimpinan UMNO adalah dijemput untuk menghadiri Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) yang bermula 2 petang, Sabtu - 17 September di Stadium Titiwangsa KL. Terima kasih atas kehadiran semua," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai agenda mesyuarat itu diadakan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perjumpaan 'Top Five' UMNO untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijangka esok ditangguhkan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengesahkan perkara itu dan memberitahu kebiasaannya 'Top Five' akan bertemu sebelum mesyuarat MKT dijalankan.

Berita Harian X