Khamis, 15 September 2022 | 3:14pm
Siti Zailah ketika melawat mangsa banjir kilat di PPS SMK Sri Gading, hari ini.- Foto NSTP/Essa Abu Yamin
Siti Zailah ketika melawat mangsa banjir kilat di PPS SMK Sri Gading, hari ini.- Foto NSTP/Essa Abu Yamin

JKM sudah siap sedia hadapi bencana banjir

BATU PAHAT: Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia 90 peratus bagi menghadapi persediaan bencana banjir yang dijangka berlaku pada November ini.

Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof, berkata pihak JKM sudah bersedia daripada segi menyediakan bekalan barangan bantuan.

"Depoh yang ada sudah mula dipenuhkan dengan barangan keperluan dan persiapan pusat pemindahan sementara (PPS) turut ditambah.

"Sebelum ini jumlah PPS yang ada kira-kira 5,000 tetapi yang terkini kira-kira 6,000 lebih PPS akan diwujudkan bagi menghadapi persedian bencana banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir kilat di PPS SMK Sri Gading, hari ini.

Menurut beliau, seramai 5,067 pegawai JKM dan 195 pegawai psikologi serta kaunselor sedia membantu melaksanakan intervensi krisis dan psikologi kepada mangsa dan petugas bencana.

"Selain itu, JKM juga dibantu 1,075 orang pasukan sokongan psikologi yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara.

"Pasukan berkenaan terdiri daripada sukarelawan yang mempunyai kelayakan dan kemahiran dalam bidang psikologi," katanya.

Beliau berkata, seramai 7,260 sukarelawan berdaftar dengan JKM di seluruh negara akan digerakkan untuk membantu di PPS yang diaktifkan selain membantu ketika pasca bencana.

"KPWKM mempunyai Skuad WAJA seramai 326,500 orang melibatkan penyertaan 252,139 golongan wanita dan 74,361 lelaki bersedia untuk membantu mangsa banjir yang terbabit," katanya.

Berita Harian X