Rabu, 31 Ogos 2022 | 6:04pm

'Segera ambil tindakan terhadap pembocor deraf dokumen mahkamah'

KUALA LUMPUR: Lapan bekas presiden Majlis Peguam menggesa pelaku yang bertanggungjawab membocorkan deraf f dokumen penghakiman, yang masing-masing berlaku dalam kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi dibawa ke muka pengadilan.

Gesaan itu dibuat menerusi satu kenyataan bersama dan ditujukan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, selain merujuk insiden terbabit sebagai 'noda kepada pentadbiran keadilan'.

Mereka turut menggesa Peguam Negara mengambil tindakan segera demi memastikan orang yang terbabit dalam perlakuan hina itu berdepan undang-undang sepenuhnya.

"Sekiranya dibiarkan, mereka akan memberi mengakibatkan pentadbiran keadilan terhakis," kata mereka seperti dilaporkan portal FM.

Kenyataan itu ditandatangani bekas presiden Majlis Peguam yang terdiri daripada Zainur Zakaria, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, Steven Thiru dan George Varughese.

Mereka merujuk kepada dua dokumen penghakiman mahkamah yang dikaitkan dengan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang diterbitkan menerusi portal Malaysia Today, kendalian Raja Petra Kamarudin.

Lapan bekas presiden itu turut memaklumkan insiden kebocoran itu adalah cubaan jelas untuk merendah-rendahkan keyakinan terhadap kehakiman dan boleh dilihat sebagai ugutan kepada para hakim.

Sebelum ini, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) mengesahkan draf kerja penghakiman bagi kes rayuan Najib yang bocor itu adalah draf kerja yang belum dimuktamadkan.

Dalam pada itu, polis menyeru masyarakat untuk membuat laporan berhubung dakwaan kebocoran keputusan penghakiman kes perbicaraan rasuah Rosmah membabitkan projek solar bernilai RM1.25 bilion.

Kumpulan bekas presiden Majlis Peguam itu juga menolak dakwaan rasuah dibuat Najib terhadap bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nazlan Ghazali, sambil menyatakan Najib sendiri akhirnya menarik semula tuduhan itu dalam afidavit difailkan, pada 9 Ogos.

"Sukar untuk menemui fitnah yang lebih besar yang ditimbulkan terhadap hakim perbicaraan yang pada pandangan kami membawa kesan jenayah," katanya sambil menambah Nazlan dan keseluruhan badan kehakiman berdepan serangan tidak berasas.

"Peguam negara perlu memandang berat kesan serangan terhadap badan kehakiman, memandangkan beliau sendiri adalah bekas hakim Mahkamah Persekutuan. Kami yakin beliau akan bertindak terhadap dakwaan palsu," katanya.

Mereka juga menyatakan sokongan penuh kepada penyandang sedia ada, Karen Cheah, dalam menjunjung kebebasan badan kehakiman.

"Kita perlu bersama dengan Badan Peguam yang berterusan mempertahankan keberanian para hakim menjunjung sumpah tanpa takut atau berat sebelah," katanya.

Berita Harian X