Jumaat, 26 Ogos 2022 | 1:00pm

'UMNO OK tanpa Najib'

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan ahli UMNO seharusnya bergerak ke hadapan dan tidak membiarkan keputusan mahkamah terhadap individu tertentu daripada terus membelenggu parti bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pandangan berkenaan diutarakan beberapa pemerhati dan penganalisis politik yang berpendapat, keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Razak, Selasa lalu, boleh memberi kelebihan tersendiri kepada UMNO dalam PRU-15 jika semua pemimpin parti itu bersatu dan bergerak ke hadapan.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata UMNO boleh terus maju tanpa Najib.

"Masih banyak lagi isu kepentingan rakyat termasuk isu mikro, pemulihan ekonomi dan berkaitan rakyat perlu dibincangkan dan diperdebatkan di Parlimen dan di kawasan-kawasan wakil Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Selain itu, pemimpin (UMNO) perlu memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga pilihan raya umum kerana isu kepentingan rakyat masih banyak perlu diperhalusi," katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib, Perdana Menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah dan disabitkan kesalahan jenayah.

Susulan keputusan mahkamah itu, beberapa pemerhati politik berpendapat UMNO sepatutnya terus melakukan perubahan yang lebih positif dan parti tidak sepatutnya terbelenggu dengan isu yang menjejaskan peluang mereka daripada memenangi PRU-15.

Menjelaskan keadaan itu, Nirwandy berkata, daripada mendebatkan keputusan mahkamah yang jelas tidak boleh wujud campur tangan oleh mana-mana pemimpin dan rakyat, lebih baik mereka menumpukan apa boleh dilakukan dalam fasa peralihan ke endemik COVID-19 ketika ini.

"Justeru, UMNO kena 'move on' (bergerak ke hadapan). Ini kerana dalam mana-mana parti gergasi, ramai lagi pemimpin yang boleh mengambil alih kepemimpinan atau mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas perdana menteri itu.

"Selain itu, pemimpin (UMNO) perlu memberikan sokongan Ismail Sabri (Perdana Menteri) sehingga pilihan raya umum nanti dijalankan kelak kerana isu kepentingan rakyat masih banyak perlu diperhalusi," katanya.

Katanya, bagi pihak yang mendakwa bahawa hukuman dijatuhkan kepada Najib bersifat kepentingan politik, tentunya mereka berasa sedih dan kesal, sementara mereka tidak menyokongnya pula gembira.

"Bagaimanapun, pertikaian terhadap institusi kehakiman (mengenai keputusan itu) perlu dihentikan, kerana ia akan merosakkan imej negara dan sudah tentu akhirnya mengakibatkan perkara tidak baik kepada institusi kehakiman dan institusi perundangan negara," katanya.

Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Seri Najib Razak (kiri) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Henti polemik isu teknikal

Berkongsi nada sama, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar, berkata pemimpin UMNO perlu menerima keputusan mahkamah dan bergerak ke depan dengan menguburkan sentimen perpecahan antara 'kluster mahkamah' dan 'kluster Putrajaya'.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG) itu juga berkata, pemimpin dan penyokong UMNO perlu berhenti berpolemik mengenai isu teknikal yang menyelubungi perbicaraan Najib sebaliknya membiarkan perkara berkenaan diuruskan pasukan peguam Najib.

"Berhenti menuding jari antara satu sama lain, termasuk penyokong parti yang mula menuding jari pada Perdana Menteri kerana tidak berbuat apa-apa, kerana tindakan Kabinet tidak campur tangan sepatutnya memberi isyarat baik pada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Malah, pemenjaraan Najib sebenarnya boleh memberi kelebihan pada UMNO kerana mereka akan meraih banyak undi simpati pada PRU-15, khususnya dalam kalangan mereka yang berpandangan pendakwaan Najib berjalan secara tidak adil.

"Namun, pemimpin UMNO perlu berfikir secara matang dan bergerak ke depan dengan memperkemas strategi atau berdepan risiko tewas pada Pakatan Harapan (PH) jika berterusan berpecah-belah kerana kes Najib," katanya.

Rusdi juga percaya perbalahan berterusan dalam kalangan pemimpin dan akar umbi UMNO hanya memberi kelebihan kepada PH dalam PRU-15.Dengan demikian, beliau berkata, kemenangan PH pada PRU-15 berisiko menjejaskan penguasaan politik Melayu dan ia lebih mengecewakan jika ia berlaku akibat UMNO berpecah yang berpunca daripada pemenjaraan Najib.

"Sekarang ini, tiada parti yang ada kelebihan. UMNO perlu henti berpolemik dalam kes ini, dan biar rakyat menilai sama ada perbicaraan Najib berjalan adil atau sebaliknya," katanya.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, UMNO perlu memastikan apa saja yang berlaku dalam parti, termasuk dakwaan wujudnya puak dalam kalangan pemimpinnya, tidak mengganggu proses pembinaan masa depan dan persiapan berdepan PRU-15.

Katanya, ekoran hukuman terhadap Najib, ia tentunya menimbulkan dua pandangan berbeza dalam parti itu apabila satu pihak berpandangan ia hukuman politik, manakala pihak lain pula sebagai meningkatkan ketelusan institusi kehakiman.

"Sudah tentu pertembungan ini membawa kepada satu polemik atau dilema dalam parti. Bagi parti, saya percaya mereka mahu mempertahankan Najib berdasarkan jasanya kepada parti dan satu pihak lagi mahu parti bergerak ke hadapan.

"Bagaimanapun, UMNO harus merapatkan saf sekarang kerana selepas kes Najib, ada lagi kes lain bakal diputuskan seperti membabitkan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita tidak tahu jika akan ada lagi kes membabitkan pemimpin lain. Jadi, UMNO harus membuat persiapan awal supaya boleh berdepan dengan apa saja kejutan. Parti ini perlu bersifat ofensif, bukan defensif.

"Sebab itu, walaupun wujud isu skandal dan sebagainya, ia harus dilihat dari dua sudut iaitu biar ia diputuskan mahkamah dan satu lagi, tidak mengganggu persiapan parti kerana ada banyak lagi isu perlu ditangani selepas ini," katanya.

Politik puak tak dapat elak

Sivamurugan berkata, politik kepuakan dalam parti sememangnya tidak dapat dielakkan, terutama apabila Perdana Menteri bukan seorang presiden parti dan boleh berterusan sehingga pemilihan UMNO akan datang.

"Namun, perkara ini jika tidak ditangani segera akan memberi impak besar kepada UMNO. Parti itu perlu memastikan perbezaan kem yang wujud tidak mengganggu usaha pengukuhan di luar parti," katanya.

Sivamurugan juga berkata, berdasarkan pengalaman luas dan kepemimpinan selama ini, Najib masih boleh menyumbang kepada UMNO sebagai pemimpin 'de facto', sama seperti dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipenjara sebelum ini.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan pula berpendapat, UMNO akan terus mempertahankan Najib kerana parti itu melihat beliau tidak diberikan ruang secukupnya dalam mendapat keadilan seperti permohonan mendapatkan khidmat peguam diraja (QC) dari United Kingdom, memasukkan bukti baharu dan permintaan peguamnya mendapatkan lebih masa sebagai persediaan hujahan ditolak mahkamah.

"UMNO menggambarkan Najib dianiaya dan ungkapan aniaya dalam masyarakat kita begitu kuat kesannya, ini satu strategi yang berkesan.

"Sebab itu saya jangka, UMNO akan terus bergerak ke hadapan, namun ia tidak memutuskan hubungan dengan Najib," katanya.

Selain itu, Azmi berkata, walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, majoriti dalam UMNO menerima keputusan itu.

"Jika Perdana Menteri campur tangan dalam kes itu seperti didakwa, bukan saja ia akan lebih memburukkan persepsi kepada UMNO, tetapi juga kepada sistem keadilan negara.

"Bagaimanapun, saya tidak lihat isu ini akan memporak perandakan dalaman UMNO itu sendiri," katanya.

Selang sehari selepas rayuan akhir Najib ditolak, Biro Politik UMNO mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti itu, di sini, malam kelmarin yang dipengerusikan Zahid.

Antara lain, mesyuarat berkenaan menyentuh kesiapsiagaan UMNO mendepani PRU-15 dan penjelasan lanjut susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib, Selasa lalu.

Ahmad Zahid turut dijangka mengadakan satu Taklimat Khas Presiden bersama ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Ahmad Zahid dalam hantaran melalui Facebook rasmi beliau kelmarin juga menegaskan, UMNO akan bertindak rasional dan akur dengan kehendak keputusan parti susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib.

Berita Harian X