Isnin, 22 Ogos 2022 | 12:01pm
- Foto NSTP
- Foto NSTP

Perkenal dasar benarkan pelarian bekerja

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memperkenalkan dasar untuk memberi kebenaran kepada pelarian bekerja di negara ini dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata beliau dimaklumkan bahawa dasar itu akan diperkenalkan segera tetapi tidak memperincikan bila pelaksanaannya.

Bercakap kepada BH semalam, beliau berkata, cadangan untuk membenarkan pelarian bekerja di negara ini dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, baru-baru ini.

"(Sekarang) Belum ada dasar lagi. Dasar akan dikeluarkan, ia pernah dibincangkan di peringkat Kabinet...juga bincang baru-baru ini (untuk benarkan pelarian bekerja).

"Saya dimaklumkan dalam kadar segera, tetapi apa-apa pun, kena tanya (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hamzah Zainuddin. KDN (Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan memutuskannya nanti.

"Kementerian Sumber Manusia (KSM) tak terbabit sebab ia membabitkan soal keselamatan. Sebab mereka bimbang apabila kita membenarkan mereka (pelarian) bekerja di negara ini, langkah itu akan membuatkan lebih ramai pelarian lain masuk ke Malaysia," katanya.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen 24 Mac lalu, Saravanan berkata, kementeriannya mengetuai jawatankuasa bagi mengkaji perkara itu, termasuk sektor sesuai untuk pelarian bekerja.

Pihaknya juga akan memastikan kebenaran diberikan kelak tidak akan menyebabkan berlaku persaingan dengan rakyat tempatan untuk memperoleh pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Dalam jawapannya itu, Saravanan berkata, melalui penambahbaikan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23, satu Garis Panduan Kebenaran Bekerja bagi Pelarian akan diperkenalkan.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mahu kerajaan mempertimbangkan kebenaran etnik Rohingya yang berada di negara ini, bekerja bagi mengisi jurang kekurangan pekerja yang dianggap semakin menekan golongan majikan di negara ini.

Syor disuarakan Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman itu berikutan situasi mendesak isu kekurangan buruh yang dipikul majikan kebelakangan ini sehingga disifatkan masa sesuai untuk memberi kebenaran kepada pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) untuk diambil bekerja.

Ia termasuk pelarian lain yang turut menerima kad UNCHR yang sah.

Antara alasan dikemukakan MEF ialah apabila kerajaan membenarkan majikan menggajikan etnik Rohingya, kos diperlukan lebih praktikal, lebih jimat selain tidak perlu menunggu lama berbanding proses pengambilan pekerja asing baharu.

Pada masa ini, pelarian yang memegang kad UNHCR hanya dibenarkan bekerja dalam sektor tidak formal seperti bekerja sendiri untuk sara hidup.

Kebanyakan etnik Rohingya di negara ini bekerja sebagai nelayan, penjual ikan, buruh binaan dan pekerja am pembersihan.

Perkara itu didedahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Rohingya, Pertubuhan Islam untuk Kemajuan Rohingya (UNIROD) yang berpusat di Pulau Pinang.

Pekerjaan sebegitu tidak memerlukan latar belakang kemahiran tinggi membabitkan majoriti etnik Rohingya ketika ini.

Pengasas merangkap Pengerusi UNIROD, Mohammad Islam Sultan Ahmed berkata, ada etnik Rohingya yang bekerja dibayar upah antara RM60 sehingga RM80 sehari.

Pelarian menganggur

Lebih buruk, kata Mohammad Islam apabila ada yang hidup menganggur, sekali gus mengheret kehidupan mereka ke kancah masalah sosial seperti isu rumah tangga sehingga ada terpaksa bercerai dengan pasangan kerana kekangan kewangan.

Mengikut data membabitkan pelarian yang dikongsikan MEF kepada BH baru-baru ini, ketika ini terdapat kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka politik Malaysia dengan 85 peratus daripadanya dari Myanmar.

MEF mendakwa, kira-kira 103,000 daripadanya adalah pelarian Rohingya. Selain Rohingya, terdapat juga pelarian dari 50 negara lain termasuk dari Pakistan, Yaman, Syria dan Somalia.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid mengakui pihaknya pernah didatangi wakil UNCHR untuk berbincang isu etnik Rohingya diambil bekerja dalam sektor pembinaan.

Ahmad Asri berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan kumpulan pelarian itu bekerja dalam sektor pembinaan, kecuali terdapat dasar tertentu yang dikeluarkan kerajaan.

"Sebenarnya sudah lama majikan memohon untuk membenarkan pelarian kerja dalam sektor pembinaan antaranya sebab ia boleh jimatkan kos, boleh ambil mereka terus kerja kerana sudah ada dalam Malaysia," katanya.

Berita Harian X