Ahad, 21 Ogos 2022 | 3:09pm

Banyak parti 'bergesel badan' nak bersama BN

AYER KEROH: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui terdapat beberapa parti sudah mula 'tunjuk muka' untuk bekerjasama dengan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sejak akhir-akhir ini.

Namun, beliau berkata, keadaan itu tidak akan mengubah pendirian dan keputusan parti itu untuk bergerak solo.

"Walaupun banyak orang yang 'bergesel-gesel badan' dengan kita (sebab) hendak bersama (dalam PRU-15), 'thank you but no thank you' (terima kasih sajalah), kita tak berkenan, kita tidak mahu tertipu lagi.

"Kita bawalah diri kita (kerana) kita sedar, `you want to be with a new gilfriend, go a head, no hard feeling'. Kita (akan) berseorangan dan BN boleh merampas semula kerajaan pada PRU-15," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada sesi perjumpaan bersama 2,000 Jentera BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu, pada sidang medianya, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata parti itu tidak pernah meninggalkan PAS dalam kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN).

Sebaliknya, beliau berkata, PAS yang meninggalkan BN bersendirian dan bergabung dengan parti lain, terutama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu dan PRN Johor, Mac lalu.

"Kami tak tinggalkan sesiapa, kami tak tinggalkan MN, mereka (PAS) yang tinggalkan MN. Kami hendak bersama mereka (ketika) di Melaka dan menawarkan lima kerusi meskipun mereka minta tiga saja kerusi DUN.

"Tetapi mereka masih tidak mahu juga bersama kita. (Dalam perkara ini) siapa yang mengkhianati siapa?

"Keadaan serupa juga berlaku di PRN Johor, tapi tidak mengapa, tiada masalah kerana MN ini bukan perjanjian dan tidak mengikat sesiapa, sebaliknya hanya piagam yang menjadi landasan orang Melayu dan Islam bersatu dalam perjuangan politik dan sosial," katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata parti itu belum menerima sebarang usul untuk menamatkan kerjasama dengan UMNO menerusi MN untuk dibahaskan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-68 pada awal September ini.

Namun, parti itu ada menerima usul daripada 197 kawasan PAS seluruh negara berkaitan usaha mengukuhkan penyatuan ummah dan MN yang diterima seiring dengan pendirian parti itu.

Berita Harian X