Sabtu, 20 Ogos 2022 | 12:30am

Sasar 100,000 pengunjung hadir Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor

SHAH ALAM: Kira-kira 100,000 pengunjung disasarkan hadir ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, sehingga petang tadi, kunjungan orang ramai adalah menggalakkan dan dijangka lebih ramai memeriahkan jelajah tersebut yang diadakan di pekarangan Stadium Shah Alam bermula 9 pagi hingga 9 malam.

"Pada hari pertama, Alhamdulillah kita lihat kehadiran sehingga petang tadi apabila dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencapai sasaran dengan kira-kira 1,000 tetamu hadir pada majlis pelancaran tadi.

"Kita harap kehadiran akan lebih ramai lagi untuk esok dan Ahad dengan sasaran 100,000 pengunjung," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Program Bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) 2022, di sini malam tadi.

AKM Selangor adalah edisi kelapan jelajah itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertemakan 'Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara'.

Kira-kira 100 reruai usahawan industri kecil dan sederhana teribat dalam AKM kali ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata dua program bimbingan anjuran institut itu berjaya melonjakkan hasil jualan berjumlah RM907,000 serta mewujudkan 30 pekerjaan baharu selepas tamat program tersebut, yang dijalankan selama empat bulan secara berperingkat sejak awal tahun ini.

"Peningkatan hasil jualan tersebut dicipta oleh 107 usahawan yang telah tamat menjalankan program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Consumer Intelligence Programme (CIP)," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, 57 peratus dari jumlah peserta kedua-dua program itu berjaya mencapai indeks pencapaian utama (KPI) program yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minimum sebanyak 20 peratus. – BERNAMA

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar (tengah) menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Mahadi Sukarni (tiga, kanan) dengan wakil Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Muhd Firdaus Azharuddin (dua, kiri) ketika Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022 sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Hotel Mardhiyyah Seksyen 14 Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X