Jumaat, 19 Ogos 2022 | 7:27pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Ibu bapa, pelajar wajar manfaat portal aduan buli

Oleh Nas Norziela Nasbah

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan pelajar wajar memanfaatkan Portal Aduan Buli Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan isu buli di sekolah dapat dibendung secara tuntas.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata portal aduan buli yang dilancarkan semalam, adalah bukti ketegasan KPM dalam menangani isu buli di sekolah dan semua pihak diharap tidak membuat tuduhan tanpa asas atau bukti hingga menyusahkan pelbagai pihak.

Katanya, NUTP melihat tiada sekolah menyorokkan kes buli, namun tidak menolak ia mungkin membabitkan kes terpencil daripada 10,250 sekolah di negara.

"Dalam usaha menangani kes buli atau masalah disiplin, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau KPM tidak memberikan tekanan atau melabelkan sekolah bermasalah, sebaliknya menggerakkan pelbagai usaha ke arah membantu sekolah.

"NUTP menyokong kewujudan portal aduan ini. KPM dilihat dan serius menangani bukan sahaja kes buli, malah kes disiplin lain, termasuk gangguan seksual di institusi pendidikan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Portal aduan buli dilancarkan kelmarin, bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada KPM.

Portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli itu menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah.

Saluran berkenaan adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), e-mel (adubuli@moe.gov.my) atau aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM yang tersedia di portal aduan itu.

Aminuddin berkata, Jawatankuasa Khas Meneliti dan Menambah Baik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan ditubuhkan pada 18 Mei lalu, rentetan surat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung statistik pemantauan sentimen terhadap isu gangguan seksual di sekolah.

"Kajian mendapati 57 peratus responden (orang awam) tidak berpuas hati dengan respon KPM kerana kaedah penyampaian laporan berhubung isu tidak jelas walaupun disokong data lengkap.

"Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab meneliti regulatori, kaedah dan prosedur berkaitan pengendalian kes gangguan seksual serta buli di institusi pendidikan," katanya.

Jawatankuasa khas itu dianggotai lapan individu berpengalaman dan mempunyai latar belakang berbeza.

Ia dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan dianggotai Datuk Sutinah Sultan, Datuk Sulaiman Wak, Prof Datin Mariani Md Nor, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Prof Madya (Kehormat) Datuk Dr Sundramoorthy dan Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan serta Aminuddin Awang.

Berita Harian X