Khamis, 18 Ogos 2022 | 6:26pm
Maisarah Ahmad Zubaidi, dinobatkan antara pelajar terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) SMK Bukit Merchu, di sini. - Foto NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Maisarah Ahmad Zubaidi, dinobatkan antara pelajar terbaik peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) SMK Bukit Merchu, di sini. - Foto NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Rakan kongsi semangat untuk cemerlang dalam STPM

KUALA KANGSAR: Kesukaran melakukan ulang kaji berkumpulan bersama rakan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat COVID-19 bukan penghalang buat Maisarah Ahmad Zubaidi, memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.

Walaupun mengakui kekangan itu sedikit menjejaskan semangatnya untuk belajar, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Merchu itu, bangkit mengumpul kekuatan dibantu rakan serta guru, selain sokongan daripada ibu bapa.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, tempoh kawalan pergerakan yang menuntut sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berbanding kehadiran fizikal ke sekolah, membuatkannya tertekan kerana sukar mengadakan ulang kaji berkumpulan.

"Saya dan rakan tidak dapat berjumpa untuk mengulangkaji pelajaran bersama. Sepanjang Semester 2 di Tingkatan Enam atas juga, kami hanya berpeluang mengikuti pengajian secara bersemuka selama dua minggu.

"Saya ulang kaji sendiri dan rumah dan sukar nak faham apa yang diterangkan rakan begitu juga mereka.

"Namun, kami bersama-sama berusaha untuk menangani masalah ini. Kami memberi motivasi sesama kami, malah sering membandingkan keputusan ujian bagi memperbaiki diri," katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.84 dan dinobatkan antara pelajar terbaik STPM 2021 sekolah, bersama lapan rakan yang lain.

Sementara itu, Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Bukit Merchu, Tarmizi Musa, berkata seramai 88 pelajar sekolah itu menduduki STPM 2021, dengan 83 daripadanya lulus serta layak mendapat sijil.

Berita Harian X