Khamis, 18 Ogos 2022 | 11:47am

'Jangan sorok kes buli di sekolah' - Radzi Jidin

PUTRAJAYA: Pihak sekolah diberi amaran untuk tidak menyorokkan kes buli yang berlaku di premis masing-masing.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia penting bagi membolehkan pengurusan sekolah memahami masalah yang berlaku dan menyelesaikannya.

Beliau berkata, perbuatan buli bukan hanya berlaku di Malaysia malah di seluruh dunia memandangkan tidak ada sesiapa pun yang sempurna.

"Apabila bercakap mengenai kes buli, apabila kita bercakap mengenai mencuba dadah kita tahu bahawa ia berlaku dan sebab itu kalau kita nak selesaikan masalah.

"Pertama sekali kita kena tahu apa masalah. Kita tidak perlu berselindung. Kita tidak perlu nak sorokkan.

"Sebab itu ketika saya masuk kementerian, jika ada kes buli kita tak pernah sorokkan. Maka kita maklumkan pada pihak sekolah jangan ada sesiapa yang cuba sorokkan kes-kes ini," katanya ketika melancar program Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat dan Portal Aduan Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya 14(1), di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Radzi berkata, untuk menjadikan sesebuah sekolah itu selamat, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melawat ruang pameran selepas majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA : Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya Presint 14 (1). NSTP/ASYRAF HAMZAH
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melawat ruang pameran selepas majlis Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA : Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya Presint 14 (1). NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X