Rabu, 17 Ogos 2022 | 8:21am
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan isteri Emine Erdogan semasa berangkat pada Sambutan Negara di Istana Presiden hari ini bersempena lawatan negara tujuh hari baginda ke Turkiye. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan isteri Emine Erdogan semasa berangkat pada Sambutan Negara di Istana Presiden hari ini bersempena lawatan negara tujuh hari baginda ke Turkiye. - Foto BERNAMA

Agong terima anugerah tertinggi Turkish Order Of The State

ANKARA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State sempena Lawatan Negara ke Turkiye.

Anugerah tertinggi yang disampaikan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden itu menjadikan Baginda Ketua Negara ASEAN pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Seri Paduka antara lima pemimpin negara yang menerima pingat tersebut di bawah pimpinan Erdogan selain Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz; Raja Belgium, Raja Philip; Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al- Jaber Al-Sabah dan Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi.

Sementara itu, dalam majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan anugerah darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Erdogan.

Darjah kebesaran DMN dikurniakan kepada Sultan atau Raja yang memerintah negeri namun darjah kebesaran itu juga boleh dikurniakan secara kehormat kepada warga asing serta orang paling dihormati.

Selain Erdogan, antara penerima kehormat luar negara pernah dikurniakan DMN sebelum ini antaranya Ratu Elizabeth; Emir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al-Tahni; Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz dan isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Selepas pengurniaan anugerah itu, Seri Paduka kemudiannya berkenan menyaksikan konsert kebudayaan tradisional yang dihoskan Erdogan.

Turut mengiringi Seri Paduka, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Terdahulu, Seri Paduka berdua berkenan menghadiri Jamuan Negara bersama Erdogan dan isteri Emine Erdogan di Istana Presiden selepas Sambutan Negara.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri mempunyai jadual padat sepanjang Lawatan Negara selama tujuh hari di Ankara dan Istanbul. – BERNAMA

Berita Harian X