Selasa, 16 Ogos 2022 | 5:30pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengadakan sidang media selepas sesi perbicaraan tamat pada rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengadakan sidang media selepas sesi perbicaraan tamat pada rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Saya kecewa, terkejut dengan keputusan mahkamah' - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa kecewa dan terkejut terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti berkaitan hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, permohonannya untuk memasukkan bukti tentang kedudukan Mohd Nazlan dalam Kumpulan Maybank sebelum ini, sememangnya mempunyai konflik kepentingan yang cukup besar.

Datuk Mohd Zaid Ibrahim. - Foto fail NSTP
Datuk Mohd Zaid Ibrahim. - Foto fail NSTP

"Saya terkejut. Saya kecewa dengan keputusan mahkamah yang tidak membenarkan saya memasukkan bukti baharu yang saya sesungguhnya percaya hakim Mohd Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang tinggi.

"Beliau pastinya mempunyai pengetahuan peribadi yang dalam tentang semua transaksi berkaitan dana 1MDB dan juga SRC, selain penyiasatan berkaitan penglibatan beliau dalam Maybank oleh SPRM," katanya kepada media di lobi Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Mohd Nazlan adalah Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Peguam Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik. - Foto fail NSTP
Peguam Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik. - Foto fail NSTP

Terdahulu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak pasukan pembelaan Najib untuk memasukkan bukti tambahan yang dikatakan bukti baharu yang membabitkan kedudukan Mohd Nazlan dalam Kumpulan Maybank, sebelum rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International yang dihadapi bekas Presiden UMNO itu.

Panel yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding akhir rayuannya antara tiga hingga empat bulan bagi membolehkan barisan peguam baharu yang dilantik itu bersedia dengan hujahan lebih baik.

Sementara itu, Najib tetap bersemangat untuk terus melawan semua pertuduhan yang disabitkan terhadapnya walaupun selepas permohonan memasukkan bukti baharu dan penangguhan prosiding rayuan ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding rayuan akhir itu bermula Khamis ini.

Tengku Maimun dalam keputusan menolak penangguhan itu, berkata Najib mengetahui tarikh prosiding rayuan akhir, tetapi memilih untuk melantik peguam baharu mewakilinya.

Beliau berkata, walaupun itu adalah haknya untuk memilih tetapi Najib kemudian tidak boleh menyatakan bahawa peguamnya tidak bersedia dengan rayuan akhir.

Terdahulu, Najib menerusi peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik memohon mahkamah menangguhkan prosiding rayuan akhir kes itu.

Hisyam yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir, sejurus mahkamah menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung peranan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Katanya, rayuan akhir itu membabitkan dokumen yang banyak iaitu sebanyak 179 jilid dan keterangan saksi yang ramai.

Hisyam memohon agar rayuan utama ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama hanya dibuat baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, pula memaklumkan bahawa pihaknya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Hisham selaku ketua pasukan pembelaan Najib, menyifatkan pihaknya sudah membentang fakta yang kuat bagi menyokong permohonan mereka, malangnya ditolak mahkamah.

"Saya memberi perhatian serius terhadap prosiding selanjutnya pada Khamis ini yang menjadi medan akhir rayuan utama.

"Saya kehilangan kata-kata dan terkejut kerana permohonan penangguhan juga tidak diberi perhatian, walaupun mengemukakan asas yang kukuh," katanya.

Sementara itu, Datuk Zaid Ibrahim yang juga peguam bela mewakili Najib, juga melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mengemukakan bukti baru itu dan tidak membenarkan penangguhan pendengaran rayuan utama selama tiga hingga empat bulan.

"(Kami) simpati penuh kepada Najib dan keluarganya tetapi keadilan adalah jalan yang panjang," katanya yang juga bekas menteri undang-undang itu.

"Kadang-kadang anda boleh mendapatkannya di sini, (atau) anda boleh mendapatkannya di tempat lain," katanya yang juga bekas menteri undang-undang itu.

Berita Harian X