Selasa, 16 Ogos 2022 | 4:47pm
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah, pada Persidangan Dewan Negara, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah, pada Persidangan Dewan Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Pertimbang pelepasan levi pelajar menuntut di luar negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia menilai keperluan layanan khas iaitu levi pelepasan kepada pelajar yang menuntut di luar negara, kata Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan (Pindaan) 2022, beliau berkata, ketika ini kerajaan masih mengenakan cukai levi kepada pelajar yang menuntut di luar negara.

"Pelajar untuk ke luar negara masih dikenakan cukai levi, namun sekiranya perlu, kerajaan bersedia menilai keperluan layanan khas diberikan kepada mereka," katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Katanya, kerajaan memberikan layanan khas kepada mereka yang ke luar Malaysia bagi menunaikan umrah dan haji, selain golongan bukan Islam yang ingin ke luar negara untuk tujuan agama.

"Kami beri layanan khas iaitu ketika membayar cukai pendapatan, mereka boleh rebat jumlah itu. Maknanya pembayar cukai boleh mengemukakan butiran resit dan kami akan beri secara rebat levi pelepasan ini sebanyak dua kali seumur hidup," katanya.

Mengenai kutipan levi pelepasan, Mohd Shahar berkata, hanya RM202 juta dikutip dari 1 September 2019 hingga Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan meletak sasaran RM800 juta kutipan ketika memperkenalkan RUU berkenaan.

"Penurunan yang amat ketara ini disebabkan kita tiada pelepasan sempadan antarabangsa dan banyak industri penerbangan tidak dapat beroperasi ketika pandemik COVID-19," katanya.

RUU Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 diluluskan Dewan Negara.

RUU berkenaan dilaksanakan bagi meminda Akta Levi Pelepasan 2019 (Akta 813) iaitu dengan memasukkan peruntukan baharu bertujuan menambah baik pentadbiran levi pelepasan melalui peruntukan yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai.

Ia terutama ketika berlaku kecemasan awam seperti bencana alam atau krisis kesihatan awam seperti pandemik. – BERNAMA

Berita Harian X