Selasa, 16 Ogos 2022 | 9:58am
Penduduk kampung bergotong royong membersih kolam takungan air di Kampung Telok Sanau. - Foto ihsan penduduk
Penduduk kampung bergotong royong membersih kolam takungan air di Kampung Telok Sanau. - Foto ihsan penduduk

Penduduk Kampung Telok Sanau, Batu Tujuh baik pulih takungan air

BALING: Lebih 500 penduduk di Kampung Telok Sanau dan Batu Tujuh, dekat sini, bersyukur selepas bekalan air masyarakat kembali pulih selepas bergotong royong membaik pulih takungan bekalan air masyarakat selama dua hari termasuk mencuci takungan dan menyambung batang paip yang rosak.

Takungan Bekalan Air Masyarakat (BAM) itu pecah dalam kejadian banjir kilat pada 1 Ogos lalu.

Pengerusi BAM, Shukri Hamid, 57, berkata takungan air yang digunakan penduduk di Kampung Telok Sanau dan Batu Tujuh itu terputus selepas pecah dalam kejadian banjir kilat.

Beliau berkata, takungan itu penuh dengan sampah sarap dan berselut serta ada bongkah kayu di dalamnya.

"Jadi kami berpakat membersih takungan dan menyambung batang paip yang rosak dan pecah. Penduduk menggunakan bekalan air jernih daripada takungan itu untuk kegunaan harian termasuk membasuh dan memasak selain digunakan oleh jemaah di surau dan masjid.

"Kami mengambil inisiatif bergotong royong membaik pulih semula takungan kerana penduduk bergantung dengan air bukit bagi menampung bekalan Syarikat Air Darul Aman (Sada) yang sering terputus. Kami bersyukur kerja-kerja menyelenggara kolam itu siap dan penduduk dapat mengguna bekalan itu seperti biasa, cuma kita bimbang berlaku banjir kilat dan takungan itu akan pecah akibat pembalakan," katanya.

Penduduk kampung bergotong royong membersih kolam takungan air di Kampung Telok Sanau. - Foto ihsan penduduk
Penduduk kampung bergotong royong membersih kolam takungan air di Kampung Telok Sanau. - Foto ihsan penduduk

Dalam kejadian awal bulan lalu, beliau berkata, takungan bekalan air masyarakat itu pecah selepas terkena terjahan batang kayu balak selain penuh bongkah kayu di dalamnya.

"Air menjadi keruh dan struktur yang dibina rosak menyebabkan penduduk terputus bekalan air bersih yang sudah digunakan lebih 15 tahun lalu," katanya.

Shukri berkata, setiap kali hujan dan banjir penduduk hanya bergotong royong membersih takungan air yang penuh dengan sampah sarap sahaja tetapi kejadian 1 Ogos lalu takungan itu pecah dan penuh dengan bongkah kayu dipercayai penebangan kayu balak yang berleluasa di kawasan Gunung Inas," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Amiruddin Salleh,39, berkata penduduk kampung turut menyumbang wang dan juga mendapat sedikit sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membaik pulih takungan dan membeli batang paip yang pecah.

"Kita memulihara alam supaya kawasan takungan itu tidak tercemar kerana air bukit yang jernih dan selamat digunakan oleh penduduk. Air masyarakat di Kampung Telok Sanau dapat membantu penduduk sekiranya bekalan air SADA yang sering terputus," katanya.

Beliau berkata, jarak kolam takungan itu hanya tiga kilometer dengan penempatan penduduk dan mampu menampung kegunaan mereka di kampung itu.

"Air jernih dari bukit itu juga mengalir melalui anak sungai ke kampung dandigunakan penduduk ditebing sungai untuk mandi serta membasuh," katanya.

Beliau berkata, air dari takungan itu jernih dan selamat digunakan malah penduduk sentiasa memantau supaya kolam takungan itu dalam keadaan selamat dan tidak tercemar, cuma sejak akhir-akhir ini apabila hutan Gunung Inas diteroka berleluasa akibatnya berlaku banjir kilat yang teruk.

"Selagi tidak dibendung penebangan balak di Gunung Inas, penduduk hidup tidak tenteram lagi kerana bimbangkejadian akan berulang. Bila hujan lebat dan berlaku banjir sudah tentu tanah berlumpur akan mengalir ke penempatan penduduk dan air anak sungai menjadi keruh," katanya.

Berita Harian X