Ahad, 14 Ogos 2022 | 3:22pm
Anggota pihak berkuasa menyertai operasi mencari dan menyelamat warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
Anggota pihak berkuasa menyertai operasi mencari dan menyelamat warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, Johor. - NSTP/ESSA ABU YAMIN

Misteri kehilangan Nyai Painah: Sisa daun sawit petunjuk baharu

BATU PAHAT: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui petunjuk baharu berkaitan warga emas, Painah Siwan, 79, yang dilaporkan hilang di Kampung Parit Sayang, Senggarang, di sini sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pasukan operasi SAR menemui kesan leraian sisa daun kelapa sawit yang dicarik-carik kira-kira 800 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.

Painah Siwan.
Painah Siwan.

"Kesan leraian daun berkenaan dipercayai dilakukan mangsa untuk mengambil lidi sebelum dijadikan penyapu.

"Mangsa belum ditemui sehingga hari ini dan operasi SAR hari kelima diteruskan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kawasan pencarian diperluaskan sehingga 800 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.

"Seramai 187 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi pencarian berkenaan.

"Khidmat bantuan unit pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digunakan, selain bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat," katanya.

Painah hilang selepas keluar dari rumahnya untuk ke kebun kelapa sawit berdekatan kediamannya pada petang Rabu lalu.

Berita Harian X