Ahad, 14 Ogos 2022 | 2:59pm
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menyampaikan Agihan Manfaat Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di Iskandar Puteri, hari ini. NSTP/Farid Noh
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menyampaikan Agihan Manfaat Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di Iskandar Puteri, hari ini. NSTP/Farid Noh

Ajaran sesat Hadi Minallah dikesan cuba disebarkan di Kota Tinggi

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan cubaan untuk membawa ajaran sesat Hadi Minallah, masuk ke negeri ini untuk disebarkan kepada masyarakat.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata JAINJ mengesan terdapat cubaan anggota ajaran sesat berkenaan untuk menyebarkan fahaman menyeleweng itu di Kota Tinggi.

Bagaimanapun, katanya, JAINJ sedang mengambil langkah menyeluruh bagi mengekang cubaan anggota ajaran sesat itu daripada mempengaruhi masyarakat negeri ini termasuk di Kota Tinggi.

"Kita (JAINJ) dapat maklumat ajaran ini cuba dibawa masuk ke Johor dan dikesan di Kota Tinggi. Kita tahu pergerakan mereka dan mahu beri amaran supaya segera berhenti sebelum tangkapan dilakukan.

"Saya nak beritahu, yakinlah pada pihak penguatkuasaan JAINJ. Kita sedang meneliti dan memerhati perkembangan terbaharu ini.

"Menerusi siasatan kita, bukan orang Johor pun (cubaan sebarkan ajaran sesat) cuma penganutnya sahaja baru cuba masuk ke Johor. Namun kita sedang menyiasat dan mencegah perkara ini daripada terus berleluasa.

"Satu yang kita nak pesan pada rakyat Johor adalah ajaran ini dibawa dari negara jiran dan orang (pengasas) itu juga bukan beragama Islam. Jadi, mengapa kita nak percaya pada ajaran yang dibawanya dan nak bercerita mengenai agama kita pula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di sini, hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah mengenal pasti lokasi pusat operasi Hadi Minallah.

Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Ditanya sama ada anggota ajaran sesat itu cuba menjadikan Johor sebagai markas penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah di negara ini, Mohd Farid berkata, kumpulan ajaran sesat itu dipercayai cuba menyebarkan fahaman menyeleweng itu di semua lokasi termasuk negeri ini.

"Mereka belum sampai peringkat tubuhkan markas di Johor tetapi kita tahu mereka baru masuk dan merisik untuk cari pengaruh bagi menyebarkan ajaran sesat itu.

"Saya nak beri peringatan pada siapa juga yang terdetik nak sebarkan mana-mana ajaran yang bersalahan dengan Islam bahawa kita ada Sesyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

"Suatu kesalahan untuk menyebarkan doktrin agama selain Islam. Berwaspada dan jangan dekati sebarang ajaran yang menyeleweng daripada Islam. Bukan sahaja mereka boleh didakwa di bawah enakmen itu, malah boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Berita Harian X