Sabtu, 13 Ogos 2022 | 8:18pm
 Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah)
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah)

'Biar polis siasat kes buli di MRSM Kuantan'

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerahkan sepenuhnya kepada polis menyiasat kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku termasuk kes buli.

Katanya, beliau akan meneliti laporan lengkap berkenaan siasatan kes itu dan apabila siap kelak akan diserahkan kepada pihak polis dan setakat ini enggan memberi sebarang komen.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu," katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Terdahulu tular di Facebook berhubung kes seorang wanita mendakwa anaknya dibuli di sebuah MRSM di Kuantan, Pahang sejak Jun lalu dan pihak asrama dikatakan lambat bertindak menangani isu itu.

Wanita terbabit mendakwa beliau sudah membuat laporan polis berhubung kes itu.

Berdasarkan kes yang tular, wanita itu mendakwa baju sekolah anaknya digunting dan diconteng, selain rambut digunting ketika tidur serta mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM itu.

Mahdzir berkata, amalan buli di mana-mana institusi pendidikan adalah satu perkara serius dan pelajar yang terbabit boleh dibuang sekolah.

"Sebagai contoh, insiden yang berlaku di MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang apabila pelajar yang disahkan terbabit buli oleh lembaga disiplin dibuang sekolah," katanya.

Berita Harian X