Sabtu, 13 Ogos 2022 | 5:14pm
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

KPM lancar Portal Aduan Buli

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melancarkan portal Aduan Buli minggu depan, bagi membolehkan ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa buli membuat laporan secara terus kepada kementerian.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata menerusi portal itu, mereka yang menjadi mangsa buli boleh menyampaikan maklumat dianggap sulit tanpa perlu bimbang diketahui oleh rakan atau guru.

Selepas portal itu dilancarkan, katanya, murid dan ibu bapa boleh membuat laporan kes buli menerusi portal itu dalam bentuk e-mel, panggilan telefon atau sistem pelaporan sedia ada di KPM.

"Selepas ini, jika ada kes kecemasan berkaitan dengan buli, ada platform jelas untuk mangsa sampaikan aduan secara sulit.

"Jadi, tidaklah dia rasa kalau beritahu kawan, kawan nanti beritahu cikgu dan kemudian dia yang akan kena balik.

"Menerusi portal ini, kita nak pelaporan yang lebih lengkap dan tersusun bagi membolehkan murid dan ibu bapa menyampaikan maklumat kes kepada kita," katanya pada sidang media Showcase Transformasi Pendidikan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden buli didakwa membabitkan murid Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan, Pahang, yang tular di media sosial ketika ini.

Insiden itu tular selepas ibu mangsa memuat naik maklumat kejadian buli berkenaan yang didakwa bermula sejak Jun lalu, namun masih berterusan berikutan tiada tindakan tuntas daripada pihak pengurusan sekolah.

Mengulas lanjut, Radzi memberi jaminan laporan buli yang diterima daripada portal itu akan disiasat secara mendalam, dan pihaknya tidak akan menerima secara bulat-bulat maklumat yang diberikan.

Pada masa sama, katanya, Program Sekolahku Sejahtera dilancarkan KPM pada Februari lalu, yang antara lain menekankan aspek empati dan elemen selamat di sekolah, mampu mengubah sikap murid supaya menjauhi buli di sekolah.

"Kita nak murid ada rasa empati. Jika nak buli orang, dia akan cuba letak diri dia di tempat itu dan fikir apa rasa kalau dia yang kena. Kita nak didik murid dengan pemikiran yang rasional.

"Dalam isu buli, yang paling penting adalah hati dan pemikiran. Kita boleh ada pelbagai pemantauan, tapi jika jiwa dan pemikiran anak belum jelas mengenai tindakan mereka, kes buli akan berterusan," katanya.

Mengenai kes buli di MRSM Kuantan, Radzi memaklumkan tidak boleh mengulas kejadian itu secara langsung kerana institusi MRSM adalah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Berita Harian X