Sabtu, 13 Ogos 2022 | 3:26pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Perjalanan umrah lebih 20,000 jemaah tertangguh angkara pesawat kurang

KUALA LUMPUR: Kira-kira 20,000 hingga 30,000 bakal jemaah umrah yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci bulan ini, terpaksa menangguh perjalanan masing-masing berikutan jumlah penerbangan harian ke Arab Saudi ketika ini menyusut dengan ketara.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata situasi itu sudah dijangka memandangkan kebanyakan syarikat penerbangan belum beroperasi sepenuhnya sebagaimana fasa sebelum pandemik COVID-19.

"Masalah ketika ini disebabkan permintaan semasa (tunai ibadat umrah) melebihi penerbangan harian yang beroperasi sekitar sembilan hingga 10 penerbangan sehari, termasuk penerbangan tambahan.

"Bayangkan sebelum ini permintaan sekitar 20,000 sebulan, sekarang mungkin sekitar 60,000," katanya kepada BH.

Sejak awal bulan ini, difahamkan pengendali umrah berdepan kesukaran untuk menghantar jemaah ke Tanah Suci susulan kekurangan pesawat, sama ada membabitkan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.

Razali berkata, syarikat penerbangan memerlukan sedikit masa untuk melakukan persediaan termasuk bagi kerja pemeriksaan pesawat yang tidak beroperasi dalam tempoh lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"PAPUH ada bertemu dengan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines, mereka mengakui berdepan beberapa masalah termasuk kekurangan krew dan keperluan melakukan pemeriksaan penuh pesawat. Berikutan masih banyak penerbangan sangkut, pesawat tak boleh terbang lagi.

"Buat masa ini, tak ada apa yang boleh dibuat tetapi PAPUH memohon supaya ada penerbangan tambahan untuk menampung keperluan semasa," katanya kepada BH hari ini.

Razali menjangkakan gangguan perjalanan umrah akibat kekurangan penerbangan itu dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang Oktober nanti.

Katanya, kebanyakan jemaah disaran menunda tarikh menunaikan umrah sehingga pengendali berhasil mendapatkan tarikh penerbangan baharu.

"Bagi yang terpaksa tunda, tarikh baru insya-Allah akan diperoleh tahun ini juga sekiranya ada penerbangan tambahan.

"Kami di pihak agensi...tidaklah sehingga menanggung rugi kerana tak dapat bawa kesemua jemaah seperti dijadualkan, cuma untung agak berkurangan," katanya.

Berita Harian X