Khamis, 11 Ogos 2022 | 1:26pm
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Negara, di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Negara, di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA

982 unit rumah PPR disediakan untuk OKU

KUALA LUMPUR: Sebanyak 982 daripada 98,196 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) disediakan untuk pemilikan orang kelainan upaya (OKU), dengan 82 peratus atau 809 unit sudah dimiliki.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, berkata jumlah unit rumah yang disediakan itu selaras dengar dasar kementerian yang menetapkan satu peratus daripada keseluruhan unit PPR diperuntukkan kepada golongan OKU bagi memastikan mereka memiliki rumah.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertanggungjawab menyediakan perumahan yang berkualiti, kondusif serta mampu dimiliki untuk kumpulan sasar, termasuk golongan rentan seperti OKU.

"Dasar Rumah Mampu Milik Negara menggariskan keperluan untuk menyediakan konsep rumah yang mesra OKU dengan menerapkan piawaian spesifikasi Reka Bentuk Sejagat seperti tempat letak kenderaan OKU, lif mesra OKU dan suis atau plug capaian OKU," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Radzi, mengenai peluang golongan OKU untuk memiliki rumah serta jumlah OKU yang menerima manfaat melalui skim perumahan di bawah KPKT.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, KPKT memperkenalkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) bagi meningkatkan aksesibiliti rakyat khususnya golongan B40 dan M40, termasuk OKU untuk mendapatkan pembiayaan bagi memiliki rumah pertama di bawah Program Pemilikan Kediaman (HOPE).

Menjawab soalan tambahan Ras Adiba, sama ada kerajaan bersedia meminda akta berkaitan untuk memastikan semua projek perumahan menepati piawaian untuk OKU, Ismail berkata, penetapan piawaian spesifikasi berkaitan reka bentuk perumahan untuk OKU sudah digariskan dalam Standard Perumahan Kebangsaan 2019.

"Spesifikasi ini masih relevan diguna pakai dalam setiap pembangunan perumahan. Buat masa ini, tiada keperluan untuk meminda garis panduan ini.

"KPKT bersedia menambah baik dasar dan garis panduan sedia ada untuk memastikan semua golongan, termasuk OKU disantuni dalam penyediaan bekalan perumahan kepada mereka.

"KPKT juga bertanggungjawab memastikan pemaju dan kontraktor mematuhi syarat ditetapkan melalui Akta OKU 2008 (Akta 685) dan Standard Perumahan Kebangsaan 2019, selain pihak berkuasa tempatan akan memastikan perincian keperluan OKU dipatuhi dalam setiap kebenaran merancang dan tidak akan diluluskan sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan ditetapkan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X