Rabu, 10 Ogos 2022 | 6:35pm
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meningkatkan perbelanjaan yang tinggi berbanding anggaran Bajet 2022 dalam usaha membantu rakyat melalui subsidi dan bantuan sosial. - NSTP/ARKIB
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meningkatkan perbelanjaan yang tinggi berbanding anggaran Bajet 2022 dalam usaha membantu rakyat melalui subsidi dan bantuan sosial. - NSTP/ARKIB

Kerajaan tambah dana bantu rakyat melalui subsidi, bantuan sosial

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meningkatkan perbelanjaan yang tinggi berbanding anggaran Bajet 2022 dalam usaha membantu rakyat melalui subsidi dan bantuan sosial.

Walaupun Bajet 2022 menampakkan hasil kejayaan membantu seluruh golongan sasar di negara ini, perbelanjaan kerajaan Persekutuan dijangka terus meningkat ketara berbanding anggaran belanjawan tahun ini disebabkan oleh peningkatan subsidi dan bantuan sosial yang mendadak.

Dalam Bajet 2022, manfaatnya dirasai semua golongan, iaitu B40; M40; wanita; orang kurang upaya (OKU); belia; pencari kerja; Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS); sektor informal dan Bumiputera serta syiar Islam.

Oktober lalu, Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' yang bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, dibentangkan dengan jumlah RM332.1 bilion.

Berdasarkan dokumen taklimat khas pada 4 Ogos lalu yang diedar hari ini, jumlah keseluruhan subsidi dan bantuan sosial bagaimanapun dijangka mencecah RM77.7 bilion, jauh lebih tinggi berbanding RM31 bilion dibentangkan dalam Bajet 2022.

Mengambil kira pendekatan konsep Keluarga Malaysia, kerajaan terus mengeluarkan perbelanjaan untuk mengurangkan beban akibat kenaikan kos sara hidup bagi seluruh rakyat susulan kenaikan harga komoditi dunia.

Malah, kerajaan memberi jaminan akan terus memberi pelbagai bantuan dan subsidi kepada rakyat melalui pengenalan subsidi baharu yang tidak termasuk dalam Bajet 2022, iaitu bagi ayam dan telur serta elektrik.

Bagi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), anggaran keperluan subsidi tahun ini adalah RM37.3 bilion, berbanding RM13.2 bilion pada tahun lalu, manakala anggaran subsidi minyak masak mencecah RM4 bilion berbanding RM2.2 billion pada 2021.

Subsidi kepenggunaan lain dianggarkan sebanyak RM9.7 bilion berbanding hanya RM1.1 bilion tahun lalu.

Fasa dua Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) juga ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta membabitkan peruntukan keseluruhan RM8 bilion. BKM disalurkan kepada 8.6 juta penerima.

Bantuan berkenaan yang ditambah baik, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan memerlukan dan seterusnya memberi impak tinggi kepada rakyat serta merancakkan ekonomi melalui aktiviti perbelanjaan.

BKM 2022 juga adalah bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah di mana kadar maksimumnya adalah RM2,600 berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,200 dan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,480 ringgit.

Had kelayakan untuk menerima BKM dinaikkan kepada RM5,000 ke bawah sebulan berbanding RM4,000 ke bawah untuk BSH, sekali gus lebih ramai Keluarga Malaysia layak menerima bantuan, termasuk sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 semata-mata.

Daripada 8.6 juta penerima BKM, empat juta adalah isirumah berpasangan dan dengan itu, BKM memanfaatkan 12.6 juta dewasa atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia berumur 21 tahun ke atas.

Sehingga kini, BKM sudah disalurkan kepada 8,608,951 penerima dengan perbelanjaan sebanyak RM7.15 bilion.

Melalui Bajet 2022 juga, kerajaan mengekalkan bantuan bersasar seperti subsidi upah untuk sektor utama seperti peruncitan dan pelancongan.

Pakej perniagaan SemarakNiaga bernilai RM40 bilion terdiri daripada pelbagai langkah bagi membantu perniagaan bangkit semula dengan segera termasuk pembiayaan, jaminan pembiayaan dan pembiayaan separa ekuiti untuk perniagaan, besar, kecil dan mikro.

Bagi penciptaan pekerjaan, kerajaan memperuntukkan RM4.8 bilion melalui program JaminKerja dengan sasaran adalah mewujudkan 600,000 pekerjaan serta meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia.

Berita Harian X