Rabu, 10 Ogos 2022 | 1:37pm
Norena menunjukkan minyak masak botol yang dirampas dalam serbuan ke sebuah story di Ayer Keroh, semalam. - Foto KPDNHEP MELAKA
Norena menunjukkan minyak masak botol yang dirampas dalam serbuan ke sebuah story di Ayer Keroh, semalam. - Foto KPDNHEP MELAKA

KPDNHEP rampas minyak masak botol, gula disimpan tanpa lesen

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merampas 460 kilogram (kg) minyak masak botol dan lebih satu tan gula pasir selepas menyerbu sebuah stor di Ayer Keroh, semalam.

Serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dilakukan sepasukan penguat kuasa KPDNHEP hasil maklumat awam di laman Facebook rasmi KPDNHEP Melaka.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar, berkata maklumat awal diterima membabitkan minyak masak paket sebelum membawa kepada penemuan stor dipercayai menjadi tempat menyimpan barang kawalan tidak berlesen.

Sebaik menerima maklumat, sepasukan penguat kuasa KPDNHEP bersama pemberi maklumat bergerak ke lokasi dan melakukan intipan sebelum melakukan serbuan.

"Pemeriksaan awal mendapati lokasi itu mempunyai lesen sah dan menjual minyak masak paket mengikut peraturan, namun pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan stor yang disyaki menjadi tempat penyimpanan bahan kawalan tanpa lesen.

"Ia membabitkan 1,117kg gula pasir kasar dan 460kg minyak masak botol pelbagai berat yang kesemua berjumlah RM7,000. Semakan mendapati ini kesalahan pertama di premis terbabit.

"Dalam keterangannya, pemilik premis iaitu lelaki berusia 60-an gagal memberi alasan munasabah tindakannya menyimpan barang kawalan di premis tidak berlesen," katanya.

Noreha berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek menyimpan stok barangan berkenaan dan cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga, namun siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau mengingatkan, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan pihak atau individu yang bertindak menyorok bekalan barangan kawalan dengan niat untuk mengambil keuntungan.

"Di Melaka, bekalan minyak masak mencukupi dan tiada alasan kekurangan bekalan. Kekurangan akan berlaku apabila ada pihak cuba menyimpan bekalan," katanya.

Berita Harian X