Selasa, 9 Ogos 2022 | 6:19pm
Md Amin menyerahkan bendera kepada kontinjen UPSI yang akan menyertai Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022
Md Amin menyerahkan bendera kepada kontinjen UPSI yang akan menyertai Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022

UPSI sedia laluan khas menerusi program Atlet Cemerlang

KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan program "Atlet Cemerlang" dengan memilih 100 pelajar cemerlang dalam bidang sukan secara laluan khas ambilan diploma mulai semester satu sesi pengajian 2022/2023 .

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata program ini menyediakan platform kecemerlangan sukan dan akademik kepada atlet sukan negara bagi memacu kecemerlangan sukan negara.

"Struktur kemasukan khas diperkenalkan kepada atlet cemerlang dengan syarat minimum dan jadual pembelajaran yang fleksibel bagi memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kecemerlangan sukan dan akademik

"UPSI menjadi universiti awam yang pertama menyediakan Program Laluan Khas Atlet secara menyeluruh meliputi bidang sukan dan akademik yang berstruktur sebagai menyahut seruan kerajaan untuk memajukan mutu sukan negara.

"Jadual atlet ini disusun khas bagi membolehkan sesi latihan dilaksanakan di waktu pagi dan petang, disokong dengan amalan sains sukan terkini dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan.

"Satu unit khas pembelajaran juga ditubuhkan bagi memberikan sokongan akademik yang sistematik kepada atlet terpilih ini," katanya selepas menyerahkan bendera kontinjen UPSI kepada atlet yang akan mengambil bahagian sempena Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 yang akan berlangsung pada 12 hingga 21 Ogos ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin, berkata seramai 100 pelajar yang berpotensi sudah mendaftar di Kolej Ungku Omar, Kampus Sultan Azlan Shah semalam.

"Pelaksanaan program laluan khas atlet ini melalui pemilihan calon yang dikenal pasti melalui proses mencungkil bakat oleh Jawatankuasa Kemasukan Atlet dengan kerjasama Sekolah Sukan Malaysia, Majlis Sukan Negeri, serta persatuan-persatuan dan kelab sukan seluruh negara.

"Pelajar yang terpilih adalah atlet berprestasi tinggi dan pelbagai kaedah pembelajaran yang bervariasi selain berkuliah secara teradun gantian (PTG) serta pelaksanaan aktiviti Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM).

"Konsep pembelajaran mereka, dilaksanakan seperti pelaksanaan di sekolah-sekolah sukan seluruh Malaysia, seorang penyelaras akan dilantik untuk memastikan perjalanan kuliah dan pelajar mendapat kebajikan sebaiknya," katanya.

Selain itu, sistem sokongan akademik atlet dilaksanakan dengan mengambil pelajar ijazah sarjana muda menerusi skim pelajar bekerja untuk membantu atlet turut memantapkan akademik mereka.

Norkhalid berkata, bagi menjayakan program ini, pihak fakulti mencari atlet negara yang berkelayakan untuk diserap dalam Skim Pensyarah Pelatih.

"Bagi menyokong program ini, Skim Lantikan Jurulatih Sepenuh Masa termasuk Jurulatih Kecergasan dalam beberapa bidang sukan tumpuan akan memantau waktu latihan antara jam 7 hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 7 malam bagi memastikan program berjalan sebaiknya.

"Pegawai psikologi dan pegawai fisioterapi akan dilantik bagi memastikan kebajikan pelajar atau atlet berprestasi tinggi dapat dijaga," katanya.

Berita Harian X