Selasa, 9 Ogos 2022 | 3:54pm
Lokasi dipercayai Pejabat Hadi Minallah di Danau Kota. NSTP/FATHIL ASRI
Lokasi dipercayai Pejabat Hadi Minallah di Danau Kota. NSTP/FATHIL ASRI

Markas ajaran sesat Hadi Minallah hanya 'ruang kosong'

KUALA LUMPUR: Markas operasi Yayasan Nur Mutiara Makrifatullah didalangi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah di sebuah kondominium di Danau Kota, Setapak, di sini, didapati tidak wujud.

Tinjauan Berita Harian (BH) di lokasi, hari ini, mendapati alamat yayasan berkenaan yang tertera pada poster promosi khidmat konsultasi oleh pengasas ajaran sesat dikenali sebagai Aminullah Ahmad itu didapati tidak lengkap.

Wartawan cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada kakitangan di pejabat Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium terbabit dan semakan mendapati alamat yayasan terbabit kemungkinan sebuah lot kosong di ruang perniagaan terbuka di bahagian bawah kondominium terbabit yang tidak disewa.

Seorang kakitangan yang enggan dikenali memaklumkan tiada sebarang yayasan sedemikian beroperasi di kondominium terbabit dalam rekod mereka, selain tidak mengenali individu dikenali sebagai Aminullah Ahmad berkenaan.

"Dalam rekod kami tiada tetapi mungkin ia didaftarkan atas nama individu dan kemungkinan aktiviti sedemikian dijalankan oleh penyewa atau pemilik unit kediaman di sini, kami tidak pasti.

"Pernah juga ternampak sekumpulan individu berpakaian serba putih dengan memakai baju, seluar dan kasut putih di sini tetapi tidak pasti sama ada mereka pengikut ajaran sesat berkenaan atau bukan," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa ada datang kepada mereka untuk bertanyakan maklumat berkaitan perkara itu, semalam bagaimanapun enggan mendedahkan butirannya.

Wartawan turut cuba menghubungi dua nombor telefon yang disertakan pada poster berkenaan namun kedua-duanya tidak dapat dihubungi dengan satu daripadanya tiada dalam perkhidmatan.

Sementara itu, Bukit Aman, hari ini memaklumkan pada peringkat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengumpul maklumat lanjut berhubung kewujudan kumpulan ajaran sesat terbabit.

Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama dengan PDRM dan agensi berkaitan untuk melakukan siasatan dan tindakan susulan terhadap kegiatan kumpulan Hadi Minallah.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, dipetik berkata siasatan itu berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Beliau berkata, sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam haruslah dibanteras habis-habisan.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi pusat penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata maklumat itu telah disalurkan kepada JAWI, yang mempunyai bidang kuasa bagi membanteras penyebaran fahaman sesat itu.

Satu video sebelum ini tular, memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran itu dalam satu majlis di sebuah pulau di utara tanah air.

Berita Harian X