Isnin, 8 Ogos 2022 | 12:20pm
Idris (kanan) beramah mesra bersama peguam syarie yang hadir pada Majlis Perasmian Dan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutan Kali Pertama di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di sini, hari ini. - Foto/NSTP Samadi Ahmad
Idris (kanan) beramah mesra bersama peguam syarie yang hadir pada Majlis Perasmian Dan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutan Kali Pertama di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di sini, hari ini. - Foto/NSTP Samadi Ahmad

JAWI siasat ajaran sesat Hadi Minnallah

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, maklumat berhubung lokasi itu sudah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk diambil tindakan selanjutnya.

"Semalam baru dapat profil berkenaan Hadi Minallah di Kuala Lumpur, saya terus hubungi JAWI kerana pada mulanya ada yang kata di Langkawi dan sebagainya.

"Tapi semalam kami dapat alamat itu, kami beri pada JAWI kerana bidang kuasa untuk bertindak ini ialah di pihak agama negeri," katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Perasmian Dan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majkis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutan Kali Pertama di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan akan dijalankan mengikut bidang kuasa agama negeri yang terbabit dengan kerjasama polis.

Idris berkata, pihaknya tidak boleh menyekat dakyah sesat yang disebarkan melalui YouTube dan hanya boleh melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diambil tindakan.

"Setakat ini kita masih belum menerima maklumat sejak bila ajaran sesat itu mula aktif di negara ini," katanya.

Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia dan dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Dalam pada itu Idris meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan ajaran sesat melaporkannya kepada pihak berkuasa agama negeri dan polis untuk diambil tindakan segera.

Sementara itu, dalam Idris dalam ucapannya, berkata Majlis Peguam Syarie perlu memainkan peranan yang aktif dalam memperkasa kedudukan perundangan syariah melalui pelbagai kegiatan advokasi kepada masyarakat secara tersusun untuk memastikan umat Islam di Malaysia celik perundangan syariah.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 900 peguam syarie di Wilayah Persekutuan membabitkan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

"Setakat ini jumlahnya mencukupi dan penambahan akan diadakan sekiranya terdapat permintaan," katanya.

Berita Harian X