Sabtu, 6 Ogos 2022 | 1:58pm
Datuk Seri Fadillah Yusof
Datuk Seri Fadillah Yusof

Harga bahan binaan dijangka stabil

KUCHING: Harga bahan binaan terutamanya simen dijangka turun dalam masa terdekat, sekali gus mampu meringankan beban ditanggung kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata beliau difahamkan situasi harga bahan binaan kini semakin pulih selepas harga besi diturunkan.

Sehubungan itu katanya, beliau yakin harga simen juga akan stabil dalam masa terdekat.

"Kita sudah melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan beban kontraktor susulan kenaikan harga bahan binaan sebelum ini.

"Antaranya melaksanakan Syarat Perubahan Harga (VOP) dengan Kementerian Kewangan sudah meluluskan (penurunan harga) empat barangan yang saya difahamkan antaranya harga besi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Sarawak di Dataran Perayaan, Petra Jaya, hari ini.

Fadillah berkata, semua kontraktor menghadapi masalah apabila harga bahan binaan naik mendadak, namun sejak kerajaan memperkenalkan VOP, ramai antara mereka kini mula stabil.

Mengenai JAKM Sarawak, beliau berkata sambutan amat menggalakkan apabila lebih 19,000 pengunjung direkodkan pada hari pertama, semalam.

"Saya percaya hari ini dan esok akan lebih ramai yang hadir kerana semalam walaupun cuaca kurang baik, jumlah hadir amat memberangsangkan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan penutupan JAKM Sarawak pagi esok.

Berita Harian X