Jumaat, 5 Ogos 2022 | 6:49pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan kumpulan ajaran sesat dari dari negara jiran, Hadi Minnallah. - Foto fail NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan kumpulan ajaran sesat dari dari negara jiran, Hadi Minnallah. - Foto fail NSTP

Kerajaan pantau ajaran sesat Hadi Minnallah

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memantau pergerakan sebuah kumpulan ajaran sesat dari negara jiran, Hadi Minnallah, yang kini dikesan aktif di beberapa negeri di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata fahaman kumpulan itu nyata dan jelas menyimpang daripada ajaran sebenar Islam.

Berikutan itu, beliau menasihati orang ramai supaya merujuk kepada guru bertauliah dan tidak terpengaruh dengan ajaran sesat itu, yang boleh menjatuhkan akidah umat Islam.

"Imam Ghazali menyebut, hendak belajar kena ada guru dan kita kena tahu guru itu mursyid iaitu beramal dengan ilmunya, yang kita tidak dapat maklumat daripada Google atau sebagainya.

"Kalau kita hendak mengaji, biar di tempat jelas seperti masjid. Jika mengajar di tempat bukan autoriti, mengajar dalam rumah, hutan atau gua dan sebagainya, itu perkara pelik, kita kena periksa.

"Nasihat saya, apapun mengaji mesti berguru dan segera laporkan kepada pihak berkuasa apabila melihat sesuatu yang menyimpang daripada ajaran Islam," katanya mengulas ajaran Hadi Minnallah, yang aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube atas nama Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minnallah Aminnullah Ahmad dan berasal dari Indonesia.

Lelaki itu mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama. Dia juga mendakwa Tuhan tidak melihat kepada agama, selain turut menolak hadis.

Lelaki itu juga didapati menyelewengkan tafsiran al-Quran, menganggap dirinya wali, mengharamkan makan daging dan mewajibkan pengikutnya membayar zakat kepadanya sebagai tanda menyucikan diri.

Pengikut kumpulan itu yang berpakaian putih dan berserban didakwa aktif di Kuala Lumpur; Kajang, Selangor serta Johor.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan menyekat penularan ajaran itu.

Berita Harian X