Khamis, 4 Ogos 2022 | 5:40pm
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasarudin Abd Mutalib dan Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia-Singapura, Fiona Estrop (kanan) ketika sidang media pada Program Tourism Networking LADA Bersama Pemain Industri Langkawi, Johor dan Singapura di sebuah hotel di Johor Bahru. hari ini. NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN/FOTO
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasarudin Abd Mutalib dan Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia-Singapura, Fiona Estrop (kanan) ketika sidang media pada Program Tourism Networking LADA Bersama Pemain Industri Langkawi, Johor dan Singapura di sebuah hotel di Johor Bahru. hari ini. NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN/FOTO

Kadar inflasi tinggi tak jejaskan pelancong ke Langkawi

JOHOR BAHRU: Kadar inflasi yang terus meningkat dengan kejatuhan nilai mata wang dan kenaikan harga barangan asas di negara ini tidak menjejaskan jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasarudin Abd Mutalib, berkata hal itu kerana dengan tawaran percutian bawah harga RM500 lengkap dengan penginapan dan makan minum, memadai untuk sesiapa sahaja yang ingin melancong ke pulau berkenaan.

"Nilai mata wang yang rendah tidak menjejaskan langsung pelancongan domestik dan itu juga sebenarnya memberi galakan yang baik kepada pelancong antarabangsa untuk melancong ke Langkawi.

"Bayangkan, untuk percutian dua hari satu malampun ada pakej bawah RM500 lengkap dengan percutian yang cukup menarik seperti penginapan di hotel empat bintang, termasuk makan, selain jadual perjalanan untuk lawatan sekitar Langkawi.

"Jadi, ini saya rasa percutian yang mampu untuk rakyat Malaysia apatah lagi antarabangsa," katanya pada sidang media selepas Program Tourism Networking LADA Bersama Pemain Industri Langkawi, Johor dan Singapura di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia-Singapura, Fiona Estrop dan Timbalan Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Azmil Munif Mohd Bukhari.

Nasaruddin berkata, kedatangan pelancong ke Langkawi kini dikategorikan sebagai amat menggalakkan yang mana bermula Januari lalu hingga Julai, seramai 1.4 juta pelancong dilaporkan datang ke Langkawi.

Hal itu katanya, membuatkan LADA menyasarkan pulau berkenaan menerima 2.5 juta pelancong sehingga ke akhir tahun.

"Kita menyasarkan 85 peratus adalah pelancong domestik, manakala 25 lagi adalah pelancong antarabangsa.

"Sasaran ini diletakkan kerana kita melihat kepada cabaran pada masa ini juga yang mana kita perlu mempertingkatkan kedatangan pelancong antarabangsa ke Langkawi," katanya.

Pada 2019, Langkawi merekodkan jumlah kehadiran seramai 3.9 juta pelancong, sebelum jumlah itu turun mendadak pada 2020 dan 2021 dengan rekod kehadiran seramai 1.8 juta pelancong dan sejuta pelancong masing-masing akibat pandemik COVID-19.

Apabila sektor pelancongan di pulau itu kembali rancak selepas peralihan fasa kepada endemik dan sempadan negara dibuka, antara usaha dilakukan LADA untuk meningkatkan kemasukan pelancongan ke Langkawi dengan menambah kekerapan penerbangan ke pulau itu.

"Sebagai contoh, jumlah penerbangan terus ke Langkawi dari Johor Bahru sendiri ditambah daripada empat penerbangan kepada tujuh penerbangan seminggu, manakala dari Singapura terdapat lapan penerbangan terus seminggu," katanya.

Mengulas lanjut program jaringan yang diadakan itu, Nasaruddin berkata, ia bertujuan mengukuhkan lagi rangkaian kerjasama sedia ada antara pengusaha pelancongan di Langkawai dengan pengusaha pelancongan di Johor Bahru dan Singapura.

Sementara itu, Fiona berkata, trend percutian ke Langkawi oleh rakyat Singapura dilihat masih rendah dipercayai berpunca daripada kemudahan jenis penerbangan yang disediakan untuk ke pulau berkenaan.

"Setakat ini, Langkawi belum mencapai tahap lokasi percutian pilihan bagi rakyat Singapura walaupun kita lihat pulau itu menawarkan percutian yang menarik.

"Rakyat republik itu kurang memilih penerbangan tambang murah, mungkin jika ada jenis penerbangan dengan syarikat penerbangan komersial, Langkawi boleh menjadi destinasi percutian pilihan rakyat Singapura," katanya.

Berita Harian X