Isnin, 1 Ogos 2022 | 8:22pm
NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Dewan Rakyat lulus 2 RUU berkaitan tentera, pertanian

KUALA LUMPUR: Sehari selepas negara menyambut Hari Pahlawan, Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022.

RUU mengandungi 12 Fasal itu antara lain bertujuan meminda Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) bagi memperluaskan skop pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan memberi kuasa kepada Lembaga untuk memperbadankan syarikat sebagai tambahan kepada kuasa sedia ada bagi menubuhkan perbadanan.

RUU berkenaan yang dibentangkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, diluluskan selepas 15 Ahli Parlimen berbahas.

Ketika menggulung perbahasan RUU itu, Ikmal Hisham berkata, fokus utama pindaan Akta 101 ialah memastikan caruman anggota tentera dalam LTAT terjamin, selamat dan terpelihara.

"Anggota tentera berkorban nyawa dan tenaga dalam memastikan keselamatan serta keamanan negara kita. Pada masa sama, mereka juga seperti orang awam lain yang mahu memastikan apabila bersara kelak, mereka mempunyai simpanan yang boleh menjamin kehidupan pada masa depan.

"Dengan pindaan pada akta ini, anggota tentera akan lebih bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab kerana mengetahui caruman masa depan mereka selamat dan terjamin bawah LTAT.

"Ia memandangkan caruman mereka diuruskan oleh pengurusan LTAT yang cekap, bijaksana dan amanah," katanya.

Terdahulu pada sesi perbahasan RUU itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyentuh isu kelemahan pengurusan LTAT yang perlu diberi perhatian dan diperbetulkan demi memastikan kebajikan pencarum terjaga.

"Seandainya LTAT dan perbadanannya ditadbir dengan telus dan prinsip tadbir urus yang tepat, keupayaan LTAT akan lebih besar selepas ini kerana tidak lagi hanya bergantung pada caruman semata-mata," katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan memberi kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menstabilkan rantaian bekalan komoditi ternakan yang memberi kesan langsung terhadap keupayaan modal serta pasaran, terutama pengeluar kecil dan sederhana.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, ketika membentangkan RUU itu berkata dengan peluasan kuasa FAMA, kementerian menyasarkan pemacuan pembangunan sektor ternakan bagi menjamin sekuriti makanan negara.

"Secara tidak langsung, ia turut meningkatkan sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara melalui pemerkasaan penternak kecil dan semi komersial," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X