Isnin, 1 Ogos 2022 | 5:36pm

Kementerian Kewangan bentang 2 RUU

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan membentangkan dua rang undang-undang (RUU) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Dua RUU berkenaan ialah RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022.

Ketika membentangkannya, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, berkata bacaan kali kedua dan ketiga RUU berkenaan akan dibuat pada persidangan sama.

Bacaan kali pertama RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022 itu bertujuan meminda Akta Cukai Jualan 2018 bagi mengenakan cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah dijual secara dalam talian.

Pindaan itu bagi memasukkan peruntukan baharu dalam Bahagian Bahagian III(A) untuk mentakrifkan 'barang bernilai rendah', 'penjual' dan 'penjual berdaftar'.

Berdasarkan draf RUU berkenaan, takrifan penjual kini akan termasuk orang menjual barangan bernilai rendah atau mengendalikan suatu pasaran secara dalam talian tanpa mengira kewarganegaraan atau lokasi geografi.

Sebelum ini, akta berkenaan mengenakan cukai jualan ke atas barangan dikilang atau diimport ke di Malaysia. Ini bermakna hanya pengilang dan pengimport berada di bawah bidang kuasa menteri kewangan.

Pindaan itu juga memberi kuasa kepada menteri atas nasihat Ketua Pengarah dari semasa ke semasa mengubah suai terma dan syarat bagi maksud melaksanakan tujuan akta berkenaan.

Subseksyen 57A(1) dicadangkan bertujuan memperuntukkan sekiranya Ketua Pengarah pada bila-bila masa mendapati terdapat pengurangan kuantiti barang bercukai dalam keadaan biasa sepatutnya berada dalam kawasan khas.

Ia hendaklah dalam ketiadaan bukti sebaliknya, dianggap secara salah barang itu dialihkan ke Malaysia dan orang berkenaan hendaklah membayar cukai ditaksir sebagai yang bioleh dilevikan pada tarikh barang itu didapati kurang.

Namun, subseksyen 57A(2) memperuntukkan jika pengurangan itu disebabkan kebocoran, kepecahan atau kemalangan tidak dapat dielakkan, Ketua Pengarah boleh meremit keseluruhan atau sebahagian cukai boleh dilevikan ke atas barangan terbabit.

Berita Harian X