Isnin, 1 Ogos 2022 | 4:22pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Tanggapan RUU kawalan tembakau bersifat menghukum tak tepat

KUALA LUMPUR: Kenyataan sesetengah pihak bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersifat menghukum adalah tidak tepat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini kerana pelaksanaan undang-undang itu selain untuk mengenakan denda, ia juga bertujuan mendidik masyarakat supaya kesalahan sama tidak berulang.

"Tambahan lagi kepatuhan masyarakat terhadap undang-undang yang ditetapkan adalah penting bagi menjamin impak kesihatan terhadap masyarakat yang ingin dicapai.

"Sekiranya polisi yang besar sebegini dilaksanakan tanpa peruntukan undang-undang, maka perkara ini sukar dilaksanakan," katanya kepada BH, hari ini.

Minggu lalu RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti merokok dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu juga mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Menjelaskan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, RUU berkenaan sebagaimana bacaan pertama dibentang Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 27 Julai lalu merangkumi dua kawalan utama iaitu produk rokok dan kawalan terhadap generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 serta seterusnya.

"Khusus bagi kawalan terhadap produk tembakau sememangnya sudah dikuat kuasa mengikut undang-undang sedia ada iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Di bawah RUU, kawalan yang dibuat diperluaskan kepada semua produk merokok, selain tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.

"Sehingga kini rokok elektronik tiada kawalan dan RUU ini adalah penyelesaian terbaik terhadap isu penggunaan terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, merokok bukan saja mendatangkan kemudaratan kepada diri, malah ia membahayakan orang yang berada di sekeliling.

"Dalam menangani isu merokok ini, kepentingan untuk menjaga kesihatan awam lebih utama berbanding hak individu untuk merokok," katanya.

Berita Harian X