Isnin, 1 Ogos 2022 | 3:53pm
Foto NSTP/Genes Gulitah
Foto NSTP/Genes Gulitah

'RUU kawalan tembakau selari maqasid syariah'

KUALA LUMPUR: Sokongan sebulat suara wajar diberikan Ahli Parlimen terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Mendesak perkara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pelaksanaan RUU itu selari dengan prinsip maqasid syariah, yang meletakkan aspek penjagaan nyawa lebih utama daripada penjagaan harta.

"Pembentangan RUU ini adalah amat tepat pada masanya bagi memastikan generasi kita bebas daripada asap rokok. Pelaksanaan dan mekanisme yang menyeluruh harus diperincikan bagi memastikan RUU terbabit dapat dilaksanakan dengan efektif.

"Tiada alasan untuk ahli-ahli Parlimen tidak menyokong pelaksanaan RUU ini sekiranya ia benar-benar berfungsi dalam memastikan Malaysia mencapai sifar perokok pada masa akan datang," katanya kepada BH hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, biarpun ada berpendapat pelaksanaan RUU itu bakal memberikan impak negatif kepada ekonomi negara akibat kehilangan cukai pendapatan dari hasil jualan tembakau, namun ia tetap mempunyai sudut positif.

"Fakta menunjukkan, industri rokok hanya menyumbang sekitar 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Bahkan, kerugian yang ditanggung oleh negara bagi pengurusan kesihatan akibat gejala merokok sebenarnya mencatatkan penambahan saban tahun," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu memberikan penjelasan berkenaan apakah mekanisme yang akan dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan dan pematuhan dapat dijalankan dengan sempurna.

"Ini termasuklah bagaimana kaedah kerajaan dalam membanteras kemasukan rokok seludup, yang dijangka akan meningkat lebih banyak pasca pelaksanaan RUU ini. Kerajaan juga mesti memperincikan peranan serta pelan kerjasama antara agensi penguat kuasa dalam memastikan pengawalan tembakau dapat dipatuhi sebaiknya," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata beliau sedia menyokong RUU berkenaan sekiranya kebimbangan dan kekhuatiran mengenai beberapa perkara dapat diperjelaskan.

"Jika tujuan (RUU) untuk menyelamatkan generasi muda daripada ancaman ketagihan merokok, itu adalah tujuan yang baik yang amat saya sokong.

"Namun jangan jadikan kesalahan memiliki dan menghisap rokok satu kesalahan jenayah ke atas orang-orang muda yang masih berumur juvana," katanya.

Beliau berkata, hukuman denda yang berat perlu dikenakan kepada syarikat korporat rokok dan peruncit yang menjual rokok, bukannya kepada orang awam dan kanak-kanak belasan tahun.

"Jangan ada hukuman penjara dikenakan kepada orang awam terutama pesalah muda, sekiranya tidak mampu bayar denda ganti hukuman berbentuk khidmat masyarakat yang lebih manusiawi," katanya.

Minggu lalu RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memilik produk tembakau atau peranti merokok dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu juga mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

Berita Harian X