X
Isnin, 1 Ogos 2022 | 3:40pm
Siti Hajar Shaifuddin menunggu proses bedah siasat jenazah anak saudaranya, Muhammad Faris Haiqal Mohd Faizal di Bilik Forensik Hospital Dungun. - Foto NSTP/ROSLI ILHAM
Siti Hajar Shaifuddin menunggu proses bedah siasat jenazah anak saudaranya, Muhammad Faris Haiqal Mohd Faizal di Bilik Forensik Hospital Dungun. - Foto NSTP/ROSLI ILHAM

"Kali ini dia tak mahu peluk saya"

DUNGUN: "Saya pelik, kali ini dia tidak mahu peluk saya. Tak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami," kata Siti Hajar Shaifuddin.

Siti Hajar adalah ibu saudara kepada Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal, 14, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 80, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Kampung Talang Bukit Besi, malam tadi.

Muhammad Faris Haikal, yang menunggang motosikal Honda EX5 maut selepas dirempuh sebuah kereta di tempat kejadian, kira-kira jam 8.45 malam.

Turut terkorban, dua lagi rakannya yang membonceng motosikal iaitu Muhammad Hafiqzie Mohd Zukri dan Muhammad Salman Faris Samsu, kedua-duanya berusia 14 tahun.

Siti Hajar, 32, berkata beliau bertemu dengan mangsa ketika pulang melawat anak saudaranya itu yang tinggal bersama ibunya, Norlida Ismai, 52, kira-kira jam 3 petang.

"Sebelum bertolak pulang, saya minta dia peluk saya, namun kali ini, dia tak peluk, hanya buat tanda 'mini love' kepada saya.

"Dia memang tak lekat di rumah, asyik bermain dengan kawannya. Saya sempat berpesan supaya dia tidak nakal dan menjaga neneknya dengan baik," katanya.

Siti Hajar berkata, beliau dan ibunya menjaga arwah sejak berusia empat tahun selepas ibu bapanya bercerai dan ibunya mengambil keputusan bekerja di Perak.

Katanya, Faris Haikal adalah anak bongsu dua beradik dan abangnya, 16 tahun juga dijaga oleh Norlida.

Sementara itu, abang ipar kepada Muhammad Hafiqzie, Ahmad Firkran Usuluddin Pasaluddin, 26, berkata tiga remaja itu bersahabat baik dan berada dalam kelas sama di sekolah.

"Mereka sangat akrab dan sentiasa bersama ke mana saja," katanya sambil menambah ketiga-tiganya juga adalah anak bongsu.

Berita Harian X