Sabtu, 30 Julai 2022 | 3:04pm

PERHILITAN pindahkan Paa Subong

GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan memindahkan seekor gajah jantan di Jalan Subong, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini hari ini.

Operasi pemindahan gajah diberi nama Paa Subong menggunakan bantuan dua denak gajah betina, Suria dan Kala.

Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar Kampung Subong, Mohammad Syazwan Fais Mohammad, berkata gajah dianggarkan seberat dua tan itu ditangkap jam 4.30 petang Rabu lalu selepas operasi mengesan dilakukan sejak Ahad lalu.

"Operasi hari ini mengambil masa lebih tiga jam dengan bantuan dua denak gajah dari Pusat Konversasi Gajah Sungai Deka.

"Operasi menjejak dan menangkap gajah membabitkan 20 anggota PERHILITAN daripada pelbagai unit iaitu Tangkapan Gajah Kelantan , Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, dan Kuala Gandah," katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah di Kampung Subong, di sini, hari ini.

Mohammad Syazwan berkata, Paa Subong yang dianggarkan berusia lebih 30 tahun itu akan dihantar ke habitat lebih sesuai selepas dipercayai keluar dari habitat asal di Hutan Simpan Nenggiri.

Pemilik kebun, Zahari Daud, 52, berkata dia bersyukur kerana akhirnya masalah gajah yang mengganggu kebun penduduk sejak tiga tahun lalu berakhir.

"Alhamdulillah, akhirnya masalah kami selama tiga tahun ini selesai," katanya.

Media sebelum ini melaporkan lebih 100 pekebun kerugian kira-kira RM300,000 apabila kebun mereka kerap diserang gajah sejak tiga tahun lalu.

Anggota PERHILITAN memindahkan Paa Subong, di Kampung Subong di sini, hari ini. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya -
Anggota PERHILITAN memindahkan Paa Subong, di Kampung Subong di sini, hari ini. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya -
Berita Harian X