Sabtu, 30 Julai 2022 | 11:28am
Kakitangan JPS menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang di Lata Celak, semalam. - BERNAMA
Kakitangan JPS menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang di Lata Celak, semalam. - BERNAMA

Sungai Kupang cetek penuh pasir, punca air cepat melimpah

BALING: Sungai Kupang didapati semakin cetek kerana dipenuhi pasir, menyebabkan airnya melimpah dengan cepat ke petempatan penduduk berhampiran setiap kali hujan lebat.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, Zulkifli Mohd Amin, berkata kerja-kerja mendalamkan sungai berkenaan, dari Lata Chelak ke Bukit Iboi memang sudah dilaksanakan sebelum ini.

Zulkifli Mohd Amin. - NSTP/SAFURI KAMARUDIN
Zulkifli Mohd Amin. - NSTP/SAFURI KAMARUDIN

"Kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang memang sudah dibuat menggunakan dua jentera pengorek disediakan Pusat Khidmat Parlimen Baling, dari Lata Chelak ke Bukit Iboi, namun berlaku hujan lebat yang menyebabkan sungai kembali dipenuhi pasir.

"Sebab itu bila hujan lebat, air sungai cepat melimpah ke petempatan penduduk berdekatan kerana timbunan pasir terlalu banyak selepas dibawa arus banjir dalam kejadian pada 4 Julai lalu," katanya.

Zulkifli berkata, kerja-kerja mendalamkan sungai berkenaan yang masih diteruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), berjalan lancar menggunakan dua jentera disediakan jabatan terbabit.

Foto fail 5 Julai lalu merakam penduduk melintasi Sungai Kupang dekat Kampung Iboi selepas kejadian banjir lumpur dan kepala air. - NSTP/DANIAL SAAD
Foto fail 5 Julai lalu merakam penduduk melintasi Sungai Kupang dekat Kampung Iboi selepas kejadian banjir lumpur dan kepala air. - NSTP/DANIAL SAAD

"Dua jentera pengorek JPS giat melakukan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang," katanya.

Khamis lalu, banjir dan kepala air sekali lagi melanda beberapa kampung di Kupang selepas hujan lebat hampir tiga jam.

Ia kejadian kedua selang tiga minggu selepas tragedi yang meragut tiga nyawa, termasuk seorang wanita hamil empat bulan dan memusnahkan puluhan kediaman di daerah ini, awal bulan ini.

Hujan lebat bermula kira-kira jam 2 petang yang berterusan selama tiga jam menyebabkan air Sungai Kupang melimpah sehingga penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai terpaksa menyelamatkan diri dan berpindah.

Air sungai berkenaan dilaporkan mengalir deras selepas dipercayai melimpah dari Gunung Inas, menyebabkan pihak polis mengarahkan laluan di Jambatan Bailey di perkampungan itu ditutup.

Antara kampung terjejas dalam bencana terbaharu ialah Kampung Iboi, Lata Chelak, Padang Empang, Masjid Iboi, Bendang Padang, Bendang Bechah, Jerai, Hangus dan Bukit Hijau, membabitkan sekurang-kurangnya 300 penduduk daripada 75 keluarga.

Sementara itu, tinjauan pagi ini di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang mendapati semua 19 keluarga mangsa banjir yang dipindahkan ke situ susulan kejadian Khamis lalu, sedang berkemas untuk pulang ke rumah.

Berita Harian X