Rabu, 27 Julai 2022 | 5:23pm
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, perkenan menyempurnakan perasmian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-16 Tahun 2022.- Foto
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, perkenan menyempurnakan perasmian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-16 Tahun 2022.- Foto

Dasar tertutup institusi kewangan Islam wajar disemak semula

ALOR SETAR: Kaedah operasi yang dilaksanakan secara tradisional serta dasar tertutup dalam institusi berkaitan kewangan Islam perlu disemak semula dan digantikan dengan kaedah lebih komersial serta moden bagi mendapat kepercayaan masyarakat.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah perubahan itu wajar dilakukan bagi menarik lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan kewangan Islam termasuk memastikan pulangan positif kepada institusi berkenaan.

Baginda bertitah, Majlis Agama Islam di setiap negeri, termasuk organisasi korporat dan orang ramai perlu berganding bahu bagi mencari kaedah terbaik menyatukan usaha serta tenaga dalam memperkasakan semua institusi kewangan Islam di negara ini.

"Antara usaha yang boleh dilakukan ialah institusi kewangan Islam hendaklah sentiasa menjalinkan hubungan erat dan padu dengan organisasi korporat yang berpengalaman.

"Beta yakin dengan usaha sebegini, pasti akan menyubur dan memperkasakan lagi institusi kewangan Islam dengan pelbagai kaedah, hasil bantuan golongan pakar dan profesional yang berada dalam organisasi korporat," titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Cendiakawan Syariah Nusantara ke-16, di sini, hari ini.

Sultan Sallehuddin turut melahirkan sukacita dengan pencapaian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang ke hadapan dengan mendigitalkan keseluruhan operasi zakat di negeri ini.

Titah baginda, pelaksanaan system Zakat On Touch yang dilancarkan LZNK sebelum ini, terbukti membuka mata masyarakat untuk melihat informasi berkaitan zakat secara telus, cepat dan tepat secara langsung.

"Selain itu melalui platform 'Kedah International Zakat Academy', LZNK berjaya berkongsi ilmu dan pengalaman dalam pengurusan zakat di seluruh dunia secara percuma.

"Pada 2019 LZNK juga menerima kunjungan daripada Sokoto State Zakat and Endowment Commission, Nigeria dan delegasi itu terus menerima latihan berkaitan sistem zakat negeri Kedah untuk dilaksanakan di negara mereka," titah baginda.

Selain itu, Sultan Sallehuddin juga mengingatkan kepada semua pihak bahawa institusi kewangan Islam tidak seharusnya berlandaskan kepada keuntungan atau 'profit oriented' semata-mata, sebaliknya terus menyumbang dan membangunkan umat Islam secara keseluruhan.

Baginda mengambil contoh langkah LZNK membangunkan Smart Sawah Berskala Besar Asnaf di lebih 200 hektar sawah di Kedah yang bukan sahaja dapat memastikan jaminan bekalan makanan kepada golongan asnaf, malah memperkasakan ekonomi petani setempat.

"Beta yakin sekiranya usaha dilakukan dapat diikuti institusi yang lain dan dibantu sepenuhnya semua pihak terutama organisasi korporat serta institusi kewangan Islam, pasti usaha pembangunan ummah sebegini akan terus berkembang demi maslahah umat keseluruhannya," titah baginda.

Berita Harian X