Rabu, 27 Julai 2022 | 3:46pm

Graduan kelas pertama tak perlu bayar balik pinjaman PTPTN - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengembalikan keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keistimewaan itu akan diberi kepada graduan yang menamatkan pengajian bermula 2019, tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.

Katanya, ia sebagai dorongan untuk golongan berkenaan belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan terbaik dalam pengajian.

"Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat.

"Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sehingga kini, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 3.67 juta peminjam mendapat bantuan pinjaman daripada perbadanan berkenaan dengan keseluruhan nilai pinjaman berjumlah RM66.87 bilion.

Perdana Menteri berkata, sehingga akhir bulan lalu, lebih dua juta atau 82.04 peratus peminjam sudah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 bilion.

"Saya percaya ramai yang sudah menamatkan pengajian memperolehi pekerjaan yang baik dan secara langsung menaikkan taraf kehidupan mereka, sekali gus menjadi aset ataupun modal insan penting kepada negara.

"Suka saya tekankan di sini bahawa membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar-pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui PTPTN menyediakan peruntukan lebih RM3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri mengakui timbul pula kebimbangan mengenai kebergantungan rakyat terhadap pinjaman yang menyebabkan graduan masa hadapan terikat dengan bayaran balik pinjaman pendidikan sebaik menamatkan pengajian.

Justeru, katanya, kerajaan mewujudkan inisiatif Simpan SSPN sejak 2004 yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan keseluruhan deposit berjumlah RM12.5 bilion dan bilangan akaun mencecah 5.4 juta sehingga akhir bulan lalu.

Beliau yakin PTPTN boleh melaksanakan inisiatif penabungan menerusi kerjasama strategik untuk meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman.

"Saya difahamkan kerjasama ini sudah mula diadakan dengan Kerajaan Sarawak dengan amaun yang disumbangkan lebih RM30 juta. Langkah kerjasama ini amat baik dan perlu dipertingkatkan dengan semua kerajaan negeri.

"PTPTN menyasarkan kutipan balik pinjaman melalui inisiatif ini adalah sebanyak RM50 juta," katanya.

Ismail Sabri (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Peminjam Berinspirasi kepada Achmad Noorasyrul Noortaip (dua dari kanan) pada majlis sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPN di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Noraini Ahmad (dua dari kiri), Mohamad Alamin (kanan) dan Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ismail Sabri (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Peminjam Berinspirasi kepada Achmad Noorasyrul Noortaip (dua dari kanan) pada majlis sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPN di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Noraini Ahmad (dua dari kiri), Mohamad Alamin (kanan) dan Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X