Rabu, 27 Julai 2022 | 11:53am

KKM bentang 2 RUU hari ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) membentangkan dua rang undang-undang (RUU) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Dua RUU berkenaan ialah RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 serta RUU Makanan (Pindaan) 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua dan ketiga RUU terbabit akan dibuat pada persidangan sama.

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Selain itu, pengawalan pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

RUU berkenaan turut mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara yang berkaitan.

(Gambar fai) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - FOTO BERNAMA
(Gambar fai) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X