Ahad, 24 Julai 2022 | 10:23am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Indonesia batal levi eksport, permintaan minyak sawit Malaysia kekal

KUALA LUMPUR: Permintaan ke atas minyak sawit Malaysia akan terus meningkat di seluruh dunia walaupun Indonesia memutuskan untuk membatalkan levi eksport minyak sawit bagi mengurangkan simpanan stok berlebihan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, turut memberi jaminan bahawa jika berlakunya kegelisahan pasaran, ia akan bersifat sementara.

"Dunia memerlukan minyak sawit. Sudah pasti harga minyak sawit kita menjadi lebih mahal berbanding Indonesia disebabkan mereka mempunyai tenaga buruh yang cukup dan akses mencukupi. Oleh itu, pengeluaran adalah lebih murah.

"Bagaimanapun, keadaan ini hanyalah sementara. Justeru, saya tidak terlalu bimbang mengenainya," katanya kepada Bernama.

Kerajaan Indonesia mengumumkan pengecualian levi eksport ke atas minyak sawit dan produk minyak sawit berkuat kuasa 15 Julai hingga 31 Ogos ini, selepas mengenakan larangan eksport selama tiga minggu.

Kerajaan Indonesia berkata, keputusan itu dibuat dalam usaha untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan inventori yang tinggi.

Zuraida baru-baru ini berkata, kementerian itu optimis bahawa China akan meningkatkan import minyak sawit.

Sementara itu, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, kementerian akan memantau perkembangan industri minyak sawit Malaysia susulan keputusan Indonesia.

Jeck Seng berkata, perkembangan itu akan memberi kesan kepada Malaysia yang merupakan antara pengeluar terbesar produk minyak sawit.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara itu akan dilihat secara serius kerana ia sememangnya memberi impak kepada eksport minyak sawit negara.

Sementara itu, Zuraida menyatakan keyakinan untuk meraih eksport sektor agrikomoditi bernilai RM300 bilion pada tahun ini.

Beliau berkata, kementerian tersebut mengekalkan sasarannya menjelang penganjuran Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 di Pusat Pameran dan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara, selama tiga hari mulai 26 Julai ini.

Sasaran berkenaan adalah lebih tinggi dengan penambahan RM100 bilion berbanding nilai eksport sebanyak RM204 bilion pada tahun lalu dan RM84 bilion pada 2020, katanya.

"Sasaran ini mampu dicapai dan MIACES akan menyokong usaha itu dan menambahkan lagi sehingga nilai eksport pada 2022 berjumlah RM300 bilion," katanya.

Zuraida menjelaskan sidang kemuncak tersebut bakal menjadi platform yang lebih baik untuk memaparkan pencapaian sektor agrikomoditi walaupun mengalami serangan dan tekanan dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) mengenai dakwaan buruh paksa.

Acara tersebut akan disertai oleh 39 negara, membabitkan penyediaan lebih 200 reruai oleh peserta industri tempatan dan antarabangsa.

Acara pada sidang kemuncak itu antara lain meliputi persidangan, padanan perniagaan, perbincangan meja bulat dan mesyuarat B2B untuk mendapat pendedahan, mengembangkan potensi pelaburan dan memaksimumkan keuntungan produktiviti perniagaan di pasaran antarabangsa.

Berikutan Malaysia menjadi negara tuan rumah bagi acara itu, MIACES dengan tema 'Memajukan Agrikomoditi Dalam Ekosistem Lestari' akan memberi tumpuan terhadap sektor minyak sawit, getah, kayu, lada dan kenaf. – BERNAMA

Berita Harian X