Isnin, 18 Julai 2022 | 6:46pm
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Fail NSTP
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Fail NSTP

Penguatkuasaan hutan dimantapkan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh 13 ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Pindaan bertujuan memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran dan meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan hutan.

Pindaan membabitkan 62 Fasal yang merangkumi lapan daripada 10 bahagian bagi menambah baik Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pindaan itu adalah bagi mencapai lima objektif antaranya mengawal proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpan Kekal (HSK).

"Ia juga bertujuan memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran, selain meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan.

"Pindaan turut bertujuan mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas serta menambah baik jadual dalam akta untuk memantapkan pengurusan dan penguatkuasaan perhutanan.

"Pindaan ini dapat memastikan kelangsungan fungsi hutan dalam menjamin kestabilan alam sekitar, membekalkan sumber makanan, jaminan bekalan air bersih, bekalan oksigen serta menyimpan stok karbon yang penting," katanya.

Akta 313 dipinda buat pertama kali pada 1993 bagi membendung kegiatan pencerobohan hutan dan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran yang serius pada akhir 1980-an dan awal 1990-an.

Berita Harian X