Ahad, 17 Julai 2022 | 3:09pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Datuk Seri Rina Mohd Harun
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Datuk Seri Rina Mohd Harun

Penjimatan kerajaan tidak jejas bantuan JKM

SHAH ALAM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi jaminan langkah penjimatan dalaman oleh kerajaan tidak akan menjejaskan peruntukan bantuan diberi menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tanpa memperincikan jumlah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata 80 peratus peruntukan kementerian digunakan bagi pemberian bantuan JKM dan jumlah itu tidak akan dikurangkan.

"Kalau melihat kepada Pekeliling Perbendaharaan ini (langkah penjimatan dalaman) dikeluarkan 14 Julai lalu, kita memang sudah praktik penjimatan, berbelanja secara berhemah dan mendahulukan apa yang menjadi keutamaan.

"Kira-kira 80 peratus peruntukan (kementerian) secara terus kepada bantuan JKM, itu tidak akan kita kurangkan," katanya pada sidang media selepas retreat Wanita Perikatan Nasional (PN), di sini, hari ini.

JKM menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan sasar merangkumi warga emas, ibu tunggal, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU).

Jumaat lalu, semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

Arahan itu dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam', ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Seri Asri Hamidon dan berkuat kuasa kelmarin.

Menurut pekeliling itu, semua kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun persekutuan serta CLBG hendaklah menyusun semula program/aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan tanpa menjejaskan program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.

Perbelanjaan mengurus semua entiti itu juga dikehendaki melaksanakan penjimatan untuk menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip dan peraturan ditetapkan bagi pengurusan kewangan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa.

Berita Harian X