Ahad, 17 Julai 2022 | 9:40am
Gajah liar ditangkap di Kampung Seri Ketengga, Siong. - Foto PERHILITAN
Gajah liar ditangkap di Kampung Seri Ketengga, Siong. - Foto PERHILITAN

Gajah jantan ditangkap di Baling

BALING: Seekor gajah jantan yang dipercayai merosakkan tanaman di Kampung Seri Ketengga, Siong berjaya ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTG), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Tanan Negara (PERHILITAN) Kedah, semalam.

Pengarah, Jamalul Nasir Ibrahim, berkata gajah berusia lingkungan 10 hingga 12 tahun itu ditangkap kira-kira jam 10 pagi di kawasan kebun getah.

"Pejabat PERHILITAN Daerah menerima aduan kira-kira jam 9 pagi, 15 Julai lalu, mengenai kemunculan seekor gajah yang merosakkan tanaman dan mendatangkan ketakutan kepada pekebun.

"Pagi semalam, sekitar jam 10 pagi, gajah itu berjaya ditangkap dan berada dalam keadaan sihat," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, gajah dengan saiz tapak kaki sebesar 10 inci dan gadingnya sepanjang kira-kira 7 inci itu, sudah beberapa kali dilihat muncul di kawasan terbabit.

"Buat masa ini, kita masih belum memutuskan lokasi untuk memindahkan gajah itu.

"Pemantauan berterusan di lokasi tangkapan akan diteruskan sehingga operasi pemindahan selesai dan gajah itu akan diberi makan batang pisang pagi dan petang oleh anggota," katanya.

Seorang penduduk, Tarmizi Che Rus,52, berkata kehadiran gajah liar itu membimbangkan penduduk yang keluar mencari rezeki.

Katanya, rata-rata penduduk bekerja sebagai penoreh getah dan bimbang terserempak dengan haiwan berkenaan ketika berada di kebun.

Berita Harian X